KUALA LUMPUR 3 Mei – Pasangan beregu campuran bebas, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying berjaya melangkah ke saingan separuh akhir kejohanan badminton Terbuka New Zealand hari ini.
Kejohanan bertaraf Siri Jelajah Dunia Super 300 itu menyaksikan Peng Soon-Liu Ying yang juga pilihan kedua tidak berdepan masalah menyingkirkan rakan senegara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing 21-16, 21-11.
Keputusan itu akan mempertemukan mereka dengan pilihan keempat dari Indonesia, Hafiz Faizal-Gloria Emmanuelle Widjaja yang mengetepikan pasangan Hong Kong, Chang Tak Ching-Ng Wing Yung 21-15, 21-17.
Pasangan Goh Soon Huat-Shevon Lai gagal meneruskan kemaraan selepas tewas kepada pilihan kelima dari Indonesia, Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti 14-21, 19-21.
Nasib bagaimanapun tidak menyebelahi perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia selepas tewas dalam pertembungan tiga set 17-21, 21-11, 19-21.
Turut terkandas pasangan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang tewas kepada pilihan utama dari Jepun, Takeshi Kamura-Keigo Sonoda 21-17, 15-21, 10-21 dan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin yang kalah 7-21, 18-21 kepada pilihan ketiga dari Jepun, Hiroyuki Endo-Yuta Watanabe.-UTUSAN ONLINE











