PUTRAJAYA 3 Mei- “Kita tunggu dahulu majlis angkat sumpah. Alhamdulillah dan berdoa kepada Allah,” Kata Ketua Hakim Negara, Datuk Tengku Maimun Tuan Mat.
Itu reaksi Tengku Maimun ketika diminta mengulas sama ada beliau terkejut apabila dilantik sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu berkuat kuasa semalam.
Pelantikan itu sekali gus mencatat sejarah sebagai Ketua Hakim wanita pertama negara dan menamatkan teka-teki siapa bakal mengisi jawatan tertinggi institusi kehakiman negara.
Ketika ditanya apa perkara pertama yang akan dilakukannya selepas pelantikan, Tengku Maimun berkata, biar beliau mengangkat sumpah terlebih dahulu.
“Biar saya buat kerja dahulu, belum lagi…Tunggu saya angkat sumpah, CR (Pejabat Ketua Pendaftar) akan maklumkan tarikh angkat sumpah,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, Tengku Maimun hari ini menghadiri Majlis Penyampaian Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia membabitkan sebanyak 11 orang Pesuruhjaya Kehakiman.
Mengulas mengenai Majlis Penyampaian Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia itu, Tengku Maimun berharap, Pesuruhjaya Kehakiman yang baharu dapat menjalankan tugas dengan bebas, adil dan cekap.
“Sebenarnya, hari ini merupakan program pelantikan Pesuruhjaya Kehakiman…ini hari mereka. Tahniah dan saya harap mereka dapat jalankan tugas dengan bebas, adil dan cekap selepas ini,” katanya.
Pesuruhjaya Kehakiman itu ialah Datuk Seri Latifah Mohd. Tahar, 58; Datuk Amarjeet Singh, 56; Awang Armadajaya Awang Mahmud, 53; Datuk Duncan Sikodol, 60; K. Muniandy, 58; Dr. Shahnaz Sulaiman, 51; Evrol Mariette Peters, 52; Christoher Chin Soon Yin, 62; Ong Chee Kwan, 55; Maidzuara Mohammed, 53 dan Mohd. Radzi Abdul Hamid, 57.-UTUSAN ONLINE











