Thi Huong tulis surat ucap terima kasih - Utusan Malaysia

Thi Huong tulis surat ucap terima kasih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG – “Terima kasih kepada semua yang mendoakan saya. Terima kasih Tuhan kerana menyayangi saya. Saya sangat gembira dan sayang semua.

Itulah mesej yang ditinggalkan warga Vietnam, Doan Thi Huong, 30, yang dibebaskan dari Penjara Kajang hari ini dan akan pulang ke negara asalnya malam ini.

Thi Huong yang sebelum ini dituduh dalam kes bunuh abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Chol atau Kim Jong-nam meninggalkan mesej itu menerusi sepucuk surat yang ditulisnya semalam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Surat itu ditulis sendiri oleh Thi Huong menggunakan pen dakwat hitam di atas kertas putih bersaiz A4 dan turut ditandatanganinya.

Surat itu dibacakan oleh Hisyam Teh Poh Teik iaitu salah seorang peguam yang mewakili Thi Huong bagi kes berkenaan pada sidang akhbar khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Turut hadir ialah dua lagi peguam Thi Huang iaitu Datuk Naran Singh dan Salim Bashir.

Pada masa sama, Thi Huong turut merakamkan ucapan penghargaan kepada kerajaan Malaysia, pihak pendakwa raya, peguam dan hakim yang terlibat dalam prosiding dihadapinya.

“Saya juga mengucapkan terima kasih Peguam Negara dan pihak Penjara Kajang kerana menjaga saya dengan baik.

“Terima kasih juga kepada Kedutaan Vietnam, kerajaan Vietnam, Persekutuan Majlis Peguam Vietnam dan pihak media yang memberikan sokongan,” katanya menerusi surat berkenaan.

Thi Huong bersama tiga peguam itu berlepas ke Hanoi, Vietnam pada pukul 7.15 malam ini menerusi pesawat Vietnam Airlines.

Terdahulu, Thi Huong dibebaskan dari Penjara Kajang pada pukul 7.20 pagi tadi selepas tempoh penjara tamat.

Thi Huong dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun empat bulan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 1 April lalu selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan ke atas Kim Chol menggunakan racun VX, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), dua tahun lepas.

Hakim Datuk Azmi Ariffin ketika menjatuhkan hukuman tersebut turut memerintahkan Thi Huong menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh ditangkap iaitu 15 Februari 2017. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini