[VIDEO] Kenal pasti tanah kerajaan terbiar untuk pertanian - Azmin - Utusan Malaysia

[VIDEO] Kenal pasti tanah kerajaan terbiar untuk pertanian – Azmin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 3 Mei – Tanah terbiar kerajaan yang tiada perancangan pembangunan akan dikenal pasti untuk digunakan bagi tujuan pertanian, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MoA) akan meneliti kaedah untuk memberi peluang kepada petani dan pekebun kecil menggunakan tanah tersebut bagi meningkatkan pendapatan mereka di samping meningkatkan hasil pertanian negara.

“Menurut maklumat awal, terdapat banyak tanah milik kerajaan yang tidak dibangunkan selama ini dan tiada pelan pembangunan masa akan datang, jadi lebih baik kita bangunkan tanah ini untuk pertanian.

Memuatkan artikel berkaitan…

“MoA dengan kepakarannya akan menentukan kesuburan tanah itu untuk industri tertentu sektor pertanian,” katanya pada sidang akhbar bersama Menteri Pertanian dan Industri AsasTani, Datuk Salahuddin Ayub selepas perbincangan strategik antara Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA) dan MoA, di sini hari ini.

Mohamed Azmin berkata, imbangan dagangan makanan yang agak membimbangkan ketika ini menuntut kerajaan melihat potensi baharu bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap makanan import di samping meningkatkan pendapatan petani.

Menurutnya, walaupun eksport makanan meningkat 2.2 peratus pada 2018 berbanding 2017, namun dalam tempoh yang sama, import makanan turut meningkat pada kadar 3.5 peratus.

“Ini menyebabkan defisit dalam sektor tertentu seperti gula dan madu sebanyak RM3.2 bilion, daging dan sediaan daging RM3.2 bilion, sayur-sayuran RM3.3 bilion, bijirin RM3.4 bilion dan ternakan RM3.9 bilion,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, pengurangan kebergantungan terhadap makanan import tersebut boleh dilaksanakan di Malaysia jika teknologi moden dan pendekatan baharu digunakan bagi meningkatkan produktiviti.

“Sebab itu MoA telah mencadangkan beberapa tindakan segera antaranya tanaman kontan tanaman inter crop (selingan) dan integrasi dan kita gunakan pertanian moden sama ada hidroponik, aquaponik, fertigasi atau pertanian vertikal,” katanya.

Mengenai perbincangan hari ini, Mohamed Azmin berkata, ia diadakan susulan pembentangan Kertas Putih ‘Ke Arah Kelestarian Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda)’ di Parlimen pada 10 April lepas yang membuka ruang untuk memperkenalkan tanaman baharu yang mampu memberi hasil dalam tempoh yang singkat di bawah Program Hasil Baharu. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini