KUALA LUMPUR 3 Mei – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan bahawa harga akhir 10 barang yang telah dikenal pasti mengaut keuntungan melampaui kadar ditetapkan akan berjaya dikurangkan.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau positif akan perkara itu sekiranya punca masalah dapat dikenalpasti dengan secepat mungkin.
Malah, jelasnya, proses penyiasatan berkenaan juga bakal memudahkan kajian terhadap barangan lain kerana telah mempunyai dapatan skil dan pengalaman.
“Saya secara peribadi kalau kami sampai kepada punca masalah, ia akan dapat membantu mengurangkan harga akhir pengguna item terlibat, sedikit masa sahaja lagi.
“Kami tahu siapa pengimport, pengedar pemborong. Kami tahu kerana semuanya berdaftar dengan KPDNHEP dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Food Bank Siswa di UTM KL, di sini hari ini.
Akhbar sebelum ini melaporkan, laporan awal terhadap kajian rantaian bekalan makanan atau kartel oleh KPDNHEP mendapati wujud aktiviti mengaut keuntungan berlebihan sehingga 133 peratus, melibatkan satu barangan popular.
Tanpa mendedahkan barangan tersebut, kegiatan itu dikesan berlaku pada peringkat pengimport kepada pemborong dan pengguna tiada alternatif kerana produk itu 100 peratus diimport.
Tambah Saifuddin Nasution, kajian berkenaan bakal melibatkan kepakaran ahli ekonomi dan jabatan tertentu bagi menemui punca permasalahan, sekaligus bertindak menyelesaikan isu tersebut.
“Analisis ini, kami perlu tentukan faktor yang menyumbang, adakah sewa gudang, upah, gaji, bil kemudahan atau peralatan? Kami ‘zoom in’ sampai situ,” katanya. – UTUSAN ONLINE











