TEMERLOH – Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU), Mohd. Shahidan Mohd. Yusoh, 35, dilaporkan hilang sejak seminggu lalu, lantas menyebabkan keluarganya kini bimbang.
Mohd. Shahidan yang berasal dari Batu 4, Jalan Maran dekat sini mengalami masalah mental dan dilaporkan selepas kali terakhir dilihat menunggang motosikal jenis Honda EX5 dengan nombor pendaftaran CCG 8556 pada Jumaat minggu lalu.
Adiknya, Siti Norsalimi, 29, berkata, Mohd. Shahidan tidak membawa sebarang dokumen pengenalan diri selepas keluar rumah tanpa memberitahu ahli keluarga.
Siti Norsalimi menambah, ia juga kali pertama abangnya yang merupakan anak keenam daripada 13 beradik itu tidak pulang dalam tempoh seminggu.
“Sebelum ini dia pernah keluar tak balik rumah, tapi hanya sehari dua. Kali ini, dia keluar selama seminggu. Kami makin bimbang kerana dia tak balik sehingga hari ini,” katanya.
Ujarnya lagi, mereka membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh pada Isnin lalu untuk memohon bantuan mengesan Mohd. Shahidan yang mengalami masalah mental sejak remaja.
“Malam tadi, ada maklumat menyatakan abang dilihat di sebuah bengkel kenderaan di Batu Balai, Jerantut,” tambahnya.
Orang ramai yang ternampak Mohd. Shahidan boleh menghubungi adiknya, Ahmad Radhi di talian 010-8984608. – K! ONLINE











