Dadah : 7 ditahan dalam serbuan polis di Seremban - Utusan Malaysia

Dadah : 7 ditahan dalam serbuan polis di Seremban

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 3 Mei – Seramai enam lelaki dan seorang wanita ditahan dalam serbuan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri ini di dua lokasi di daerah ini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Superintenden Pang Jin Lai berkata, suspek yang berusia antara 22 hingga 28 tahun ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Bidara dekat sini kira-kira pukul 1 petang.

“Hasil pemeriksaan di rumah itu, polis telah merampas dadah jenis ganja dengan anggaran berat 311.5 gram dan heroin (175 gram).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Serbuan kedua dibuat ke atas sebuah rumah di Nusari Aman 2 dekat Sendayan membabitkan suspek yang sama. Di sini, polis telah merampas ganja dengan anggaran berat 110 gram dan heroin (77 gram),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, jumlah keseluruhan ganja yang dirampas dianggarkan seberat 421.5 gram dan heroin (252 gram) bernilai kira-kira RM25,680.

Dalam serbuan itu, tambahnya, polis telah merampas dan menyita sebuah kereta, tiga buah motosikal dan wang tunai milik suspek dengan nilai RM61,149.

“Saringan air kencing terhadap semua suspek mendapati tiga daripada mereka positif dadah.

“Kesemua enam suspek lelaki masing-masing mempunyai rekod kesalahan jenayah dan dadah manakala suspek wanita tiada kesalahan lampau,” ujarnya.

Jin Lai berkata, kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang membawa gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Beliau memberitahu, sehingga kini, nilai sitaan terhadap aset pengedar dadah yang telah ditangkap di negeri ini tahun ini berjumlah RM2.6 juta. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini