KUALA LUMPUR 3 Mei – Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menyifatkan kehidupannya akan lebih sibuk walaupun telah meninggalkan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) secara rasmi, esok.
Mohamad Fuzi berkata, selepas ini beliau akan melakukan apa-apa yang memanfaatkan dirinya sendiri.
“Selama ini sebagai polis saya kerja pagi hingga lewat malam, jadi selepas ini saya akan buat kerja yang memanfaatkan diri saya.
“Ada benda personal (peribadi) dan rahsia jadi saya tidak mahu kongsi,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Negara antara beliau dan Datuk Seri Abdul Hamid Bador di Pusat Latihan Polis (Pulapol), di sini hari ini.
Ketika ditanya mengenai tugas paling mencabar sepanjang perkhidmatannya selama 35 tahun, Mohamad Fuzi memaklumkan tugas sebagai pegawai polis sentiasa mencabar dan bersyukur telah sampai ke garisan penamat.
Terdahulu dalam ucapannya, Mohamad Fuzi turut menegaskan beliau akan terus berjuang di sisi PDRM dengan cara sendiri.
“Semangat perjuangan Sang Saka Biru yang mengalir di dalam darah tidak akan pudar, hanya kerana saya telah bergelar seorang pesara.
“Selepas meninggalkan PDRM, saya berharap pasukan akan terus berpegang kepada matlamat dan prinsipnya untuk kekal sebagai sebuah agensi keselamatan yang disegani,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











