MADRID 3 Mei – Iker Casillas tidak dapat meneruskan karier sebagai pemain bola sepak selepas terkena serangan jantung baru-baru ini semasa menjalani latihan.
Pemenang Piala Dunia itu mengalami serangan semasa menjalani latihan bersama Porto dan kemudiannya dikejarkan ke hospital untuk proses pembedahan segera.
“Casillas berada dalam keadaan baik dan masalah jantungnya sudah diselesaikan dengan sempurna,” kata kelab itu dalam satu kenyataan.
Pakar jantung, Juan Antonio Corbalan berkata, sementara Casillas menjalani proses pemulihan penuh, dia tidak lagi boleh bermain bola sepak.
“Awak tidak boleh bermain bola dengan sten koronari terutama melibatkan penjaga gol.
“Iker akan kembali menjalani kehidupan normal tetapi tidak lagi boleh menjadi atlet profesional,” katanya.
Sementara itu, ejen Casillas, Carlos Cutropia berkata, penjaga gol berusia 37 tahun itu sebelum ini tidak menunjukkan sebarang tanda dia mengalami masalah jantung.
“Iker menjalani latihan intensif pada hari Selasa petang dan satu lagi sesi latihan intensif pada pagi keesokan harinya.
“Semasa menjalani latihan pada hari Rabu, dia rasa sakit di bahagian dada, mulut dan lengan.
“Kami sangat bersyukur apabila pasukan perubatan Porto segera menghantar Iker ke hospital,” katanya.-AGENSI











