FRANKFURT 3 Mei – Pedro memastikan Chelsea meraih kelebihan gol di tempat lawan selepas jaringannya pada minit ke-45 membantu Blues seri 1-1 dengan pasukan ‘underdog’, Eintracht Frankfurt dalam separuh akhir pertama Liga Europa, sebentar tadi.
Biarpun pengendali Chelsea, Maurizio Sarri sebelum ini menegaskan Liga Perdana Inggeris adalah keutamaan mereka, namun anak-anak buahnya tetap mempamer aksi bersemangat di Jerman.
Tuan rumah terlebih dulu membuka jaringan pada minit ke-23 menerusi penyerang Serbia, Luka Jovic.
Bagaimanapun Chelsea menunjukkan tindak balas segera selepas Pedro menyudahkan bola hantaran Ruben Loftus-Cheek, beberapa saa sebelum wisel rehat ditiupkan.
Seri 1-1 bukanlah bekalan selesa buat Blues, namun sekurang-kurangnya mereka memegang kelebihan gol di tempat lawan apabila separuh akhir kedua berlangsung di Stamford Bridge, London, Khamis depan.
Dalam aksi tersebut, Sarri turut merehatkan perancang utamanya, Eden Hazard daripada kesebelasan pasukan bagi memastikan pemain Belgium itu cergas untuk menghadapi Watford dalam saingan liga domestik, Ahad ini. – AGENSI











