ISNIN ini seluruh umat Islam ini akan memulakan ibadah berpuasa pada bulan Ramadan. Yang pasti, setiap Muslim seluruh dunia yang beriman tentu tidak sabar menyambut kedatangan bulan mulia ini yang menjanjikan ‘bonus’ pahala.
Segala persediaan rohani dan jasmani dilakukan untuk melaksanakan ibadat ini. Sesungguhnya bulan Ramadan memberi makna yang cukup besar dalam kehidupan setiap umat Islam.
Tidak terkecuali kedatangan Ramadan turut disambut oleh masyarakat etnik Rohingya, Myanmar beragama Islam. Malangnya, berbeza dengan Muslim di negara lain, masyarakat tersebut menyambut kehadiran bulan mulia dengan tidak lagi mempunyai kampung halaman serta keluarga sejak diusir menjadi pelarian.
Kira-kira 750,000 daripada mereka bakal menyambut Ramadan di kem-kem pelarian di Cox’s Bazar, Bangladesh sementara puluhan ribu yang lain berpuasa di negara perlindungan masing-masing seperti Arab Saudi, Indonesia, India, Thailand serta Malaysia.
Ramadan 2019 bakal disambut buat kali kedua selepas Ramadan tahun lalu iaitu beberapa bulan selepas operasi pembersihan etnik secara besar-besaran dilakukan kerajaan dan tentera Myanmar pada Ogos 2017.
Menurut laporan pemerhati antarabangsa, kira-kira 200,000 etnik Rohingya masih berada di kampung halaman mereka di wilayah Rakhine, sama ada tidak dapat lari atau terkepung. Keadaan mereka dilaporkan kritikal sebab kebuluran, kemiskinan dan menjadi mangsa keganasan.
Melihat sendiri kedaifan pelarian Rohingya di kem pelarian Ramadan tahun lalu, Sympathy Malaysia dengan kerjasama rakyat Malaysia telah menghulurkan bantuan berbuka puasa dan bersahur kepada kira-kira 1,000 keluarga.
Meskipun sumbangan barang makanan dan sedikit wang saku yang disumbangkan nilainya tidaklah seberapa, tetapi ia diibaratkan seperti memberi ‘udara untuk bernafas.’
Penulis masih ingat bagaimana pelarian menceritakan mereka berbuka setiap hari dengan nasi bubur dan air kosong, bersahur pula jarang sekali. Kalau ada rezeki mereka akan mendapat kurma dan buah-buahan daripada agensi kemanusiaan antarabangsa.
Berlapar pada bulan puasa adalah sama seperti kelaparan yang dialami setiap hari pada bulan-bulan biasa. Sympathy Malaysia berkesempatan menemubual beberapa pelarian di kem pelarian Balukhali dan Kuthupalong untuk mendapatkan gambaran tentang persiapan dan harapan mereka dalam menyambut Ramadan 2019.











