KEMAMAN – Seramai 69 guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kerteh dekat sini diketuai pengetuanya, Ismail Md. Ali berbusana ala nelayan sempena sambutan Hari Guru peringkat sekolah hari ini.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Kerteh, Abd. Ghafar Mohamed berkata, idea tersebut tercetus memandangkan sebahagian besar daripada 689 pelajar sekolah tersebut berlatarbelakangkan keluarga nelayan.
“PIBG dengan kerjasama Kelab Guru dan Staf SMK Kerteh, pelajar dan alumni telah diberi tanggungjawab untuk menguruskan sambutan Hari Guru peringkat sekolah yang bertemakan ‘Cara Hidup Nelayan’.
“Tema sambutan ini mendapat dukungan kuat daripada Pengetua SMK Kerteh, Ismail Md. Ali. Selain berpakaian seperti nelayan, guru-guru turut bergaya dengan dayung dan replika sampan bagi memeriahkan suasana,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Abd. Ghafar berkata, sambutan Hari Guru SMK Kerteh itu itu juga diadakan di luar kawasan sekolah seperti Padang Awam Kerteh bagi mendekatkan lagi pengurusan sekolah dengan masyarakat setempat.
Menurut beliau, sukaneka melibatkan guru, pelajar dan masyarakat turut diadakan melibatkan pelbagai acara seperti membersihkan ikan bilis, memancing botol, menangkap ayam dan mengupas bawang. – K! ONLINE











