KUALA TERENGGANU 2 Mei – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Terengganu menahan sebuah
bot nelayan, kira-kira 23 batu nautika dari Kuala Terengganu semalam.
Bot itu merupakan bot nelayan berpendaftaran tempatan jenis kelas C kerana telah melakukan kesalahan melanggar
syarat lesen yang dikeluarkan iaitu melakukan aktiviti menangkap ikan di bawah kawasan yang dibenarkan.
Turut ditahan lima awak-awak warga tempatan termasuk tekong berumur antara 35 hingga 53 tahun.
Selain itu, rampasan hasil laut iaitu sotong dan pelbagai jenis ikan yang dianggarkan bernilai hampir 1.5 tan serta
2,000 liter diesel.
Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, bot tersebut ditahan oleh
kapal Maritim KM Nusa yang sedang melakukan rondaan Ops Iman.
Jelasnya lagi, kesemua bot tersebut dibawa ke jeti Maritim Negeri Terengganu untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen
8 (b) 1985 Akta Perikanan kerana menangkap ikan di bawah kawasan yang dibenarkan mengikut syarat lesen dan jka
disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sebanyak RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun
atau kedua-duannya sekali.
Tegas beliau, Maritim Negeri Terengganu tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terutama yang melakukan
sebarang salah laku dan menyalahguna lesen yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.
“Rondaan dan pemantauan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa untuk mencegah sebarang aktiviti yang
menyalahi undang-undang maritim.
“Justeru itu, kerjasama masyarakat terutama nelayan tempatan untuk melaporkan sebarang maklumat dan salah laku yang
berlaku di perairan Negara ke talian MERS 999 atau 09-6224357 (Pusat Operasi) Maritim Negeri Terengganu,” ujarnya.
– UTUSAN ONLINE











