SEREMBAN 29 April – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan di sini hari ini memilih Ketua PKR Cabang Seremban, Dr. Ahmad Azam Hamzah sebagai Ahli Dewan Negara.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun (PKR-Sikamat) mencadangkan nama itu dan disokong oleh Mohamad Taufek Abd. Ghani (Amanah-Paroi).
Speaker DUN, Datuk Zulkefly Omar kemudian mengumumkan pelantikan itu selepas mendapat sokongan majoriti ahli dewan.
Dr. Ahmad Azam yang dilahirkan di Kemaman, Terengganu pada 17 Februari 1961 dan tinggal di negeri ini sejak 1989 dilantik untuk memegang jawatan tersebut selama tiga tahun.
Sementara itu, DUN itu hari ini meluluskan dua Rang Undang-Undang (RUU) pada hari terakhir persidangannya.
Dua RUU berkenaan adalah pindaan terhadap Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) dan pindaan Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Saraan).
Pindaan terhadap Enakmen Jenayah Syariah yang membabitkan 21 fasal telah dibentangkan oleh Aminuddin.
Ia bertujuan untuk memperkasa dan memperkukuhkan lagi undang-undang Islam dan syiar Islam di negeri ini.
Sementara itu, pindaan terhadap Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Undangan Negeri bertujuan memasukkan jawatan Timbalan Yang Dipertua DUN.
“Mesyuarat khas pada Julai 2018 telah meluluskan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjung, R. Ravi sebagai Timbalan Yang Dipertua DUN,” kata Aminuddin.
Persidangan DUN itu kemudian ditangguhkan dan bersambung pada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian. – UTUSAN ONLINE











