SOP kunci kelestarian perlombongan bauksit - Utusan Malaysia

SOP kunci kelestarian perlombongan bauksit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELEPAS sebulan diperhalusi, prosedur operasi standard (SOP) baharu aktiviti perlombongan dan pengeksportan bauksit di Pahang yang ditunggu-tunggu pelbagai pihak dijangka diumumkan dalam masa terdekat oleh Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar.

Sejak awal bulan ini, Jawatankuasa Eksekutif Penilaian bertungkus-lumus menambah baik draf SOP baharu itu sebelum ‘dimurnikan’ sektretariat terlibat.

Draf SOP tersebut pada awalnya dimuat naik di portal Kementerian Air, Tanah, dan Sumber Asli sejak 31 Mac lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Draft setebal 174 muka surat itu menjelaskan keseluruhan rantaian aktiviti perlombongan bermula peringkat praperlombongan, semasa perlombongan dan pasca perlombongan termasuk pengendalian logistik dan penyimpanan stok di pelabuhan.

Sesi pendengaran awam dan libat urus kemudian dilakukan bagi menambah baik

SOP tersebut dengan mengambil kira kepentingan rakyat serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan alam sekitar.

Sesi berkenaan termasuk yang diadakan di Kuantan pada 14 April lepas bagi membolehkan Jawatankuasa Eksekutif Penilaian mendengar penjelasan semua pihak berkepentingan termasuk daripada kerajaan negeri, jabatan dan agensi kerajaan terlibat, pemain industri, NGO, pakar pengurusan alam sekitar, kesihatan awam serta orang awam mengenai draf SOP tersebut.

Jawatankuasa Eksekutif berkenaan perlu mengambil maklum semua pandangan yang dikemukakan dalam sesi pendengaran awam itu untuk diperhalusi sebelum dimuktamadkan.

Difahamkan, Jawatankuasa Eksekutif Penilaian mengadakan mesyuarat terakhirnya pada Jumaat lalu. Sekretariat terlibat akan ‘memurnikan’ SOP baharu tersebut kemudian diserahkan kepada Kementerian Air, Tanah, dan Sumber Asli sebelum diumumkan.

Jika diperlukan, Jawatankuasa Eksekutif Penilaian SOP akan dipanggil untuk membentangkannya kepada menteri.

Sebelum diumumkan, Kerajaan Pahang juga perlu diberi taklimat mengenai SOP baharu tersebut yang mana proses itu dikatakan akan dilakukan pada minggu ini.

Sekiranya dilihat kepada maklum balas peserta yang mengambil bahagian dalam sesi pendengaran awam pada 14 April lepas, kebanyakan mereka yang terdiri dalam kalangan peneroka mahukan kerajaan membenarkan semula aktiviti tersebut diteruskan dalam tempoh terdekat kerana sudah lama hilang punca pendapatan selepas kerajaan mengenakan tempoh moratorium ke atas kegiatan perlombongan bahan mineral itu tiga tahun lepas.

Terdapat juga cadangan supaya sebuah pasukan petugas ditubuhkan bagi memantau dan memastikan semua SOP baharu aktiviti perlombongan dan pengeksportan bauksit dipatuhi pemain industri terlibat.

Penubuhan pasukan petugas berkenaan penting untuk membuat pemantauan supaya operasi berkaitan perlombongan bauksit dilakukan secara lestari dan lancar sekali gus mengelakkan masalah lama berulang.

Rakyat semestinya sudah muak dan kecewa jika mendapati pelbagai masalah seperti debu merah dan pencemaran ekoran kegiatan pelombongan serta pengeksportan bauksit berulang.

Jelas sekali, keupayaan SOP baharu itu untuk berfungsi dan memberi sumbangan sebaik mungkin di seluruh rantaian perlombongan dan pengeksportan bauksit menjadi kunci kepada aktiviti berkenaan sama ada mampu beroperasi secara lestari atau sebaliknya.

Lebih penting, pelaksanaan SOP baharu yang bakal diperkenalkan kelak boleh dilaksanakan dengan baik dan tidak membawa balik isu-isu yang dikaitkan dengan aktiviti itu sebelum ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini