KUALA LUMPUR – Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim berjaya mengekalkan jawatannya sebagai Presiden Persatuan Olahraga Perak (PAA) bagi penggal 2019 hingga 2022.
Ini merupakan kali ketiga Karim, 63, menjawat jawatan tersebut selepas menang tanpa bertanding pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) persatuan olahraga tersebut di Manjung, Perak semalam.
“Tumpuan sekarang untuk terus membantu Perak melahirkan atlet-atlet berkualiti ke persada antarabangsa.
“Kejayaan ini membakar semangat saya untuk terus berusaha membangunkan sukan olahraga bukan sahaja di Perak tetapi kepada Malaysia juga.
“Terima kasih kepada semua ahli PAA yang masih memberikan kepercayaan kepada saya untuk terus memegang peranan sebagai presiden persatuan ini,” katanya.
Ia merupakan kejayaan berganda buat Karim selepas terdahulu berjaya memenangi jawatan Ahli Majlis Persatuan Olahraga Asia (AAA) pada kongres AGM badan induk itu di Doha, Qatar minggu lalu.
Ia sekali gus memberi bayangan awal Karim akan mempertahankan jawatannya sebagai Presiden KOM pada AGM yang dijadualkan berlangsung sekitar Jun nanti. – K! ONLINE











