KUALA LUMPUR 28 April – Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) tidak berminat untuk bertelagah dengan rakan kongsi mereka ataupun memberi maklum balas kepada mana-mana desakan menerusi media, sebaliknya meminta sebarang cadangan, aduan atau pertanyaan diajukan menerusi saluran yang betul.
Walaupun tidak menyebut nama mana-mana individu, kenyataan itu dilihat ditujukan kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) Datuk Posa Majais yang sudah beberapa kali cuba mencetuskan perang dengan badan pentadbir Liga Malaysia itu menggunakan saluran media.
Posa juga turut mendesak supaya Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam serta pengurusan tertinggi MFL, meletak jawatan berikutan hukuman pemotongan geran tahunan dan sekatan perpindahan dikenakan ke atas FAS.
“MFL memiliki tanggungjawab terhadap hubungan kerjasama dengan 24 pasukan yang bertanding yang juga selaku rakan kongsi MFL.
“Justeru MFL mengambil pendekatan untuk tidak menjawab secara terus kepada mana-mana pihak yang membangkitkan apa-apa isu demi menjaga kepentingan rakan kongsi.
“MFL sentiasa terbuka dengan sebarang cadangan atau pertanyaan namun ia perlu dilakukan menerusi saluran yang betul dan percaya semua pihak khususnya rakan kongsi sedia maklum mengenai perkara ini.
“Jelas di sini MFL tidak berminat untuk menggalakkan perbuatan sebegini oleh mana-mana individu atau pasukan di mana jika MFL memberi maklum balas maka individu atau pasukan tersebut memberikan reaksi secara tidak bertanggungjawab, ia sudah pasti akan memberikan kesan kepada imej bola sepak Malaysia secara keseluruhan,” menurut kenyataan media oleh MFL di sini hari ini.
Dalam kenyataan yang sama itu, MFL mendedahkan dua lampiran berkaitan polisi insurans pasukan dan akaun kewangan milik MFL sebagai membuktikan bahawa badan itu tidak pernah mengabaikan polisi insurans rakan kongsi mereka sepertimana didakwa oleh Posa Majais.
“Berdasarkan surat pengesahan yang dilampirkan itu jelas tiada sebarang tunggakan bayaran berlaku. Harus diingat bahawa ada pasukan yang telah memilih untuk tidak mengambil insurans pusat yang disediakan oleh kerana pasukan itu mungkin sudah ada penaja insurans atau mempunyai insurans pusat dari badan pemilik pasukan itu.
Sementara itu, Pegawai Pematuhan MFL, Desmond Dominic Raju mendedahkan akaun 2017 telah diaudit oleh juruaudit bertauliah dan butiran akaun itu sudah diedarkan pada Mesyuarat Rakan Kongsi MFL ke-2 pada 25 Mac 2018.
“Akaun kewangan MFL bagi 2018 juga sudah selesai diaudit dan diserahkan serta diluluskan oleh Ahli Lembaga Pengarah pada 15 Mac 2019 di mana akaun 2018 itu menunjukkan MFL meraih keuntungan sebanyak RM1.48 juta.
“Akaun kewangan MFL 2018 yang sudah diaudit akan diedarkan pada Kongres MFL seterusnya. Ini adalah yang telah dipraktikkan dahulu dan akaun yang diaudit sentiasa diedarkan kepada semua rakan kongsi MFL sebagai ‘standard practice’ dan tanpa perlu dicabar,” katanya. – UTUSAN ONLINE











