JASIN – Seorang guru wanita berdepan detik cemas selepas seekor ular jenis rusuk kerbau ditemui menyorok di dalam laci meja pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Mahkota, Merlimau di sini pagi tadi.
Menurut guru berusia 49 tahun itu, dia terkejut apabila ular berkenaan tiba-tiba keluar dari laci meja tersebut ketika dia membuat pemeriksaan kelas.
“Mujur saya tidak memasukkan tangan ke dalam laci meja dan kedudukan meja itu juga jauh dari saya. Namun, sehingga sekarang saya trauma dengan kelibat reptilia itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.
Pegawai Pertahanan Awam daerah Jasin, Kapten (PA) Shahrul Nizam Mad Shah berkata, pusat kawalan menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.30 pagi.
“Pasukan APM dengan kekuatan tiga anggota sampai ke lokasi pada pukul 11.58 pagi dan mendapati terdapat seekor ular jenis rusuk kerbau sepanjang satu meter menyorok di dalam laci sebuah meja pelajar.
“Ular seberat satu kilogram itu kemudian berjaya ditangkap dalam masa lima minit dan dibawa ke stor simpanan APM untuk tindakan lanjut,” katanya.
Mengulas lanjut, Shahrul Nizam berkata, ular rusuk kerbau itu tidak berbisa bagaimanapun, gigitannya boleh menyebabkan jangkitan mengikut kepada daya ketahanan individu.
“Gigitan ular ini juga mampu menyebabkan koyakan tisu sekiranya ia ditarik dengan kuat dari anggota badan mangsa,” katanya. – K! ONLINE











