JOHOR BAHRU 28 April – Ahli dan pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu ingat bahawa bukan mudah untuk menubuhkan sebuah parti hingga berjaya dalam keadaan cengkaman kleptokrasi yang menekan daripada setiap sudut pada awal penubuhannya.
Menteri Besar, Datuk Dr. Sahruddin Jamal berkata, sejarah perjuangan Bersatu perlu dihayati kerana permulaannya sangat sukar dan berliku.
“Semuanya bermula dengan gerakan yang dipelopori oleh Presiden kita, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Bukan mudah untuk kita penubuhkan Bersatu.
“Namun berkat kegigihan pejuang-pejuang yang tidak mengenal erti mengalah, Bersatu telah berjaya menubuhkan sebuah kerajaan baik di peringkat Persekutuan dan negeri,” katanya.
Beliau yang juga Setiausaha PH negeri berkata demikian ketika berucap dalam Pelancaran Buku Bersatu:Mulanya Di Sini di Hotel Thistle di sini sebentar tadi yang turut dilancarkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dr. Sahruddin berkata, setiap parti politik mempunyai sejarah penubuhannya serta pahit getir perjuangan yang tidak semua orang tahu dan begitu juga dengan Bersatu.
Justeru, pihak Bersatu menghasilkan dan melancarkan Buku Bersatu:Mulanya Di Sini pada hari ini yang merupakan nukilan berunsur sejarah politik kontemporari bermulanya perjalanan parti berkenaan.
Menurutnya, kejayaan Parti Bersatu pada hari ini adalah hasil usaha gigih semua pemimpin, ahli parti dan sokongan serta kerjasama parti-parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH). – UTUSAN ONLINE











