Kelulut tampung perbelanjaan program sekolah - Utusan Malaysia

Kelulut tampung perbelanjaan program sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 28 April – Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Temalir, Kuala Krai, berjaya menghasilkan produk dari madu kelulut yang sekali gus menjadi sumber pemdapatan itu untuk menampung keperluan program sekolah.

Yang Dipertua PIBG sekolah itu, Che Mat Nawi Yaakob berkata, inisiatif menternak kelulut dimulakan sejak 2014 dengan 30 koloni.

Beliau berkata, usaha itu dikembangkan sehingga 40 koloni dalam usaha menjana pendapatan PIBG untuk menyokong setiap program Kecemerlangan yang dirancangkan pengurusan sekolah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Penternakan kelulut biasanya dilaksanakan individu atau pihak tertentu untuk menjana pendapatan. Namun atas tujuan yang sama, PIBG sekolah ini mengambil inisiatif yang sama dalam memastikan dana dan tabungan kewangan PIBG kukuh.

“Usaha PIBG ini mendapat kerjasama padu Penglibatan Ibu bapa dan Komuniti (PIBK) setempat dan hasil madu kelulut dikomersialkan termasuk produk hiliran iaitu sabun pencuci muka madu kelulut yang berjaya dihasilkan,” katanya.

PIBG-kelulut
SEBAHAGIAN anggota PIBK yang gigih mengusahakan kelapa sawit di sekitar SK Temalir, Kuala Krai, Kelantan. – UTUSAN ONLINE

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Pameran Hari Guru Peringkat Negeri 2019 di Dewan Wawasan Institut Perguruan Guru (IPG) Kampus Kota Bharu, dekat sini, hari ini.

SK Temalir adalah salah sebuah sekolah yang terlibat dengan gerai pameran selain 18 buah sekolah cemerlang seluruh negeri ini mempamerkan kejayaan masing-masing selama dua hari bermula hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Ketua Sektor Peperiksaan dan Penilaian Jabatan Pendidikan Kelantan, Mohamad Abd. Wahab

MADU KELULUT
MADU kelulut keluaran PIBG SK Temalir Kuala Krai, Kelantan. – UTUSAN ONLINE

Yang turut hadir, Pengarah IPG Kota Bharu, Che Hashim Deraman.

Sementara itu, Guru Besar sekolah itu, Lilis Ariani Abdul Manan berkata, hasil yang diusahakan itu mendapat sambutan menggalakkan yang bukan sahaja meringankan bebanan sekolah menampung pelaksanaan projek kecemerlangan murid malah mengharumkan nama SK Temalir sebagai PIBK yang cemerlang.

“Kita pasarkan hasil produk penternakan kelulut dan sabunnya ke seluruh negeri ini dengan pembungkusan yang lebih menarik.

“Bermula dengan promosi dari mulut ke mulut hinggalah tular di media sosial menjadikan produk ini sebagai pilihan pengguna.

“Syukur alhamdulillah kita tak pulang dengan tangan kosong setiap kali menyertai program jualan. Selain itu, PIBG ada punca lain dalam menjana pendapatan iaitu projek penternakan kambing, kulat dan hasil kelala sawit,” katanya.

Lilis Aryani berkata, kerjasama padu yang diberikan jawatankuasa PIBG membolehkan kita berjaya sampai ke tahap hari ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini