KUALA LUMPUR 28 April – Kira-kira 1,000 peserta berjaya menamatkan acara Larian Amal ‘Edu Charity Fun Run’ anjuran Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) di Cyberjaya, dekat sini.
Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, program itu bertujuan meningkatkan peluang untuk menyumbang kepada tabung dana pendidikan yang dikendalikan oleh Yayasan Angkasa.
Menurutnya, larian amal itu juga bagi menambah dana Yayasan Angkasa dan acara itu mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai pihak termasuk pelajar, koperator dan individu serta sumbangan rakan strategik beberapa koperasi dan syarikat korporat yang menyokong program berkenaan.
“Program larian ini bukan sahaja untuk meningkatkan dana Yayasan Angkasa, malah dapat mewujudkan jalinan kemesraan dan kerjasama sesama insan yang selaras dengan prinsip koperasi yang ketujuh iaitu prihatin terhadap masyarakat.
Program ini akan dijadikan sebagai acara tahunan Angkasa untuk melaksanakan tanggungjawab sosial koperasi (CSR) khususnya kepada pelajar yang memerlukan dana,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, pada majlis yang sama turut diadakan pra-pelancaran AngkasaONE, sebuah perkhidmatan rangkaian jalur lebar yang bakal diperkenalkan oleh Angkasa dengan kerjasama Koperasi Alumni MKM Kuala Lumpur Berhad (Kopama) dan Tech100. – UTUSAN ONLINE











