JITRA – Luluh hati seorang peniaga nasi lemak apabila kehilangan suami dan anak lelakinya dalam kemalangan membabitkan tiga buah motosikal di Jalan Stesen Keretapi, Kampung Jeram di Tunjang dekat sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.45 malam itu, Ahmad Tarmizi Kadir, 50, maut di tempat kejadian selepas motosikal dinaiki bersama sepupunya bertembung dengan motosikal ditunggang anaknya sendiri, Muhammad Akhmal, 16.
Muhammad Akhmal meninggal dunia sebaik tiba di Unit Kecemasan Hospital Jitra di sini.
Tiga lagi mangsa iaitu sepupu Ahmad Tarmizi, Mohd. Ridzuan Fadzil, 28, serta penunggang sebuah lagi motosikal iaitu seorang wanita berusia 40 tahun dan anak perempuannya berusia empat tahun mengalami kecederaan ringan.
Isteri Ahmad Tarmizi, Rosmima Harim, 49, berkata, dia bergegas ke lokasi kejadian selepas anak saudara memaklumkan suaminya meninggal dunia kerana terlibat dalam kemalangan.
“Saya terduduk apabila melihat jasad suami yang telah ditutup dengan kain dan pada masa itu juga saya dimaklumkan bahawa Akhmal turut terlibat dalam kemalangan sama.
“Rakan Akhmal beritahu anak saya ditemui pengsan di kawasan sawah padi di tepi jalan dan telah dikejarkan ke Hospital Jitra dengan ambulans,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pulau Timbul, Tunjang hari ini.
Katanya, ketika menunggu jenazah suami di bilik mayat, dia dimaklumkan Akhmal telah menghembuskan nafas terakhirnya ketika dirawat di unit kecemasan.
“Saya tidak sangka suami menemui ajal akibat kemalangan dengan anak sendiri, namun begitu saya menerimanya sebagai takdir yang telah ditentukan Allah,” ujarnya. – K! ONLINE











