Kementerian Kesihatan bentang cadangan wajib suntikan vaksin 8 Mei ini - Utusan Malaysia

Kementerian Kesihatan bentang cadangan wajib suntikan vaksin 8 Mei ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI 28 April – Cadangan mewajibkan ibu bapa memberi suntikan imunisasi kepada anak-anak mereka akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Pemandu Perancangan Kementerian Kesihatan pada 8 Mei untuk kelulusan, sebelum penelitian lanjut oleh Kabinet.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pandangan pelbagai pihak turut diperoleh termasuk agensi kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta persatuan yang berkaitan dalam meneliti isu-isu dan perkara yang perlu dimasukkan dalam kertas cadangan kebolehlaksanaan tindakan untuk mewajibkan suntikan imunisasi itu.

“Saya akan pengerusikan dan bincangkan (peringkat pasca Kabinet) dahulu dan hasil daripada itu, kita akan angkat ke Kabinet…Apa yang penting supaya kewajipan imunisasi adalah pilihan untuk memastikan anak-anak dapat dilindungi dan mencapai imuniti kelompok sehingga 97 peratus penerimaan ibu bapa,” katanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Imunisasi Peringkat Kebangsaan di Taman Tasik Cempaka di sini, hari ini, yang turut dihadiri Pengarah Kesihatan Negeri Selangor Datuk Dr Khalid Ibrahim.

Media sebelum ini melaporkan mengenai penubuhan pasukan petugas khas bagi merealisasikan cadangan dan dasar untuk mewajibkan suntikan imunisasi vaksin di negara ini akan dikemukakan kepada Kementerian Kesihatan akhir bulan ini.

Sementara itu, Dr. Dzulkefly berkata, kerajaan komited meneruskan Program Imunisasi Kanak-Kanak Kebangsaan, seperti yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan pada pilihan raya umum lepas meskipun kerajaan perlu menanggung kos yang agak tinggi.

Katanya, kementerian itu memperuntukkan hampir RM150 juta setahun untuk Program Imunisasi Kanak-Kanak Kebangsaan yang memanfaatkan seramai hampir 500,000 bayi yang dilahirkan setiap tahun sehingga ke murid sekolah berumur 15 tahun.

Vaksin yang diberi boleh memberi perlindungan terhadap 12 jenis jangkitan, termasuk Tuberkulosis (TB), Hepatitis B, difteria, tetanus (kancing gigi), batuk kokol, polio, campak, beguk dan rubella. Bagi murid perempuan berumur 13 tahun, vaksin Human Papilloma Virus (HPV) diberi manakala di Sarawak pula, vaksin Japanese Encephalitis turut diberi.

Dalam ucapannya, Dr Dzulkefly meminta orang ramai usah mudah mempercayai maklumat tidak benar mengenai gerakan anti-vaksin yang dengan aktif mengajak masyarakat untuk meragui keselamatan dan keberkesanan vaksin. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini