Perceraian adalah jalan terakhir untuk kami - Bella Astillah - Utusan Malaysia

Perceraian adalah jalan terakhir untuk kami – Bella Astillah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Penyanyi Bella Astillah berkata, kontroversi rumah tangganya bersama pelakon Aliff Aziz yang dilanda isu curang sejak lebih dua bulan lalu masih belum menemui jalan penyelesaian.

Menurut Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, dia belum mempunyai jawapan pasti tentang perasaan sebenarnya ketika ini selepas dicurangi kali ketiga.

“Sejak dahulu saya pernah berkata, kalau berkahwin saya mahu lelaki itu akan jadi suami pertama dan terakhir buat saya. Saya sedar ramai yang ingin tahu tentang status sebenar saya dan Aliff buat masa ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jadi perceraian adalah jalan terakhir yang akan saya lakukan. Saya tidak boleh pentingkan diri sendiri kerana keutamaan saya adalah anak. Saya tidak mahu anak membesar tanpa kasih sayang seorang ayah kandung.

“Malah dalam keluarga saya sendiri belum ada yang melalui episod perceraian, jadi saya berusaha sebaik mungkin untuk mengekalkan perkara itu,” katanya ketika ditemui pada majlis Chari-tea In Love with Farah Nabilah & Friends di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini sebentar tadi.

Tambah Bella, 25, buat masa ini dia enggan terlalu memikirkan soal hubungannya dengan Aliff dan menyibukkan diri menguruskan karier selain perniagaan kuih raya yang diusahakannya.

“Buat masa ini, saya malas untuk fikirkan soal itu dan hanya menyerahkan kepada arah aliran hidup. Saya juga sudah beberapa kali buat solat istikharah tetapi apa yang boleh dikatakan, saya tawakal dengan perkara ini.

“Orang di luar boleh bercakap apa sahaja tetapi pokok pangkalnya, dalam hal ini ia terletak di tangan saya untuk menentukan segala-galanya,” katanya.

Buat masa ini, pasangan itu sudah tidak tinggal sebumbung namun tetap berhubung dan berjumpa sekali-sekala demi anak mereka.

Terdahulu, hujung Februari lalu dunia hiburan dikejutkan dengan pendedahan oleh Bella sendiri bahawa suaminya sekali lagi berlaku curang dengan pelakon Oktovia Manrose.

Sebelum itu pada Julai 2017, Aliff pernah mencetuskan kontroversi selepas curang dengan pelakon Afifah Nasir apabila kedua-duanya keluar ke sebuah pusat karaoke.

Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Mohamad Ayden Adrean yang kini berusia setahun sembilan bulan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini