MELAKA – Usahawan tempatan diseru untuk merebut peluang memasarkan produk halal mereka ke peringkat antarabangsa selepas sektor itu diperakui oleh bank dunia mengalami pertumbahan perolehan pesat sehingga mencecah lebih RM28.9 trilion.
Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof berkata, pihaknya mahu usahawan tempatan mengambil peluang pasaran antarabangsa itu sekurang-kurangnya lima peratus dengan nilai perolehan kira-kira RM1.4 trilion.
Katanya, jumlah itu sekali gus dapat membantu meningkatkan kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang setakat ini mencatatkan RM1.3 trilion.
“Pada lawatan kerja di Eropah dan Rusia baru-baru ini, antara perkara yang diketengahkan dalam forum adalah peningkatan permintaan produk halal di peringkat antarabangsa sehingga mencecah perolehan USD7 trilion atau RM28.9 trilion.
“Produk halal ini termasuklah pasaran bagi makanan, kosmetik dan farmaseutikal. Kita harap pengusaha tempatan dapat rebut peluang ini sekurang-kurangnya lima peratus dari jumlah itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar majlis penutup Fiesta MED yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Dr. Mohd. Khalil Yaakob di MITC di sini hari ini. Fiesta itu turut melibatkan penganjuran Program Pameran Satu Daerah Satu Industri (SDSI).
Mengulas lanjut, Mohd. Redzuan berkata, setakat ini kementeriannya berpuas hati dengan maklum balas yang positif diterima berkaitan produk halal tempatan dan antara yang mendapat permintaan tinggi daripada negara luar ialah produk penyembelihan halal, minyak masak dan gamat. – K! ONLINE











