Pesara guru derma darah kali ke-110 - Utusan Malaysia

Pesara guru derma darah kali ke-110

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI 28 April – Niat seorang bekas pendidik yang mahu memastikan bekalan darahnya dapat membantu orang lain yang memerlukan menyebabkan dia kini telah menderma darah untuk kali yang ke-110.

Song Siew Chien, 59, yang menamatkan perkhidmatan sebagai guru di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Sin Min, di sini sejak dua tahun lalu juga bertekad untuk meneruskan aktiviti itu walaupun usianya melepasi 60 tahun kelak.

Katanya, dia mula menderma darah sejak 37 tahun lalu melalui kempen-kempen dan program yang dilaksanakan pelbagai pihak di sekitar daerah ini serta kawasan lain.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya berniat untuk menolong mereka yang memerlukan bantuan darah, orang lain juga mampu berbuat demikian sekiranya keadaan kesihatan mereka mengizinkan.

“Selepas berumur 60 tahun kelak, saya bersedia untuk menderma darah seperti biasa sekiranya mendapat kebenaran pihak hospital kerana pada usia itu kita perlu memeriksa keadaan kesihatan sebelum menderma,” katanya.

Siew Chien yang tinggal di Persiaran Kelab Cinta Sayang, di sini berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas menyertai Kempen Derma Darah sempena Pertandingan Mewarna 2019 anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) Hotels Sdn. Bhd., di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengurus Besar The Jerai Hotel Sungai Petani, Norfadzli Ahmad dan Pengerusi Pertubuhan 3B Daerah Kuala Muda, Khairul Anuar Ahmad.

Siew Chien turut memuji usaha kesemua pihak yang mengambil langkah menganjurkan kempen menderma darah bagi menampung keperluan tabung darah di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini