Benih padi sah kurang di pasaran jadi punca - Utusan Malaysia

Benih padi sah kurang di pasaran jadi punca

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 28 April – Benih padi tidak sah yang berpenyakit atau lebih dikenali ‘padi hantu’ mendapat permintaan tinggi bukan sahaja disebabkan harganya yang murah, tetapi permintaan itu meningkat ekoran kekurangan benih padi sah di pasaran.

Menurut Pengurus Badan Bertindak Petani Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Che Ani Mat Zain, kesukaran mendapatkan benih padi sah menyebabkan ada pihak yang mengambil kesempatan untuk menipu pesawah bagi mengaut keuntungan.

Katanya, sebagai contoh pada dua tahun lalu, kerajaan menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM25 juta bagi membiayai Program Insentif Benih Padi Sah yang bertujuan mengurangkan harga benih tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tetapi, pesawah masih terpaksa membeli benih padi tersebut dengan harga antara RM48 ke RM53 bagi setiap kampit 20 kilogram, persoalannya siapa yang dapat subsidi itu. Jadi, tidak hairan jika pesawah terpaksa menggunakan benih padi tidak sah bagi mengurangkan kos mereka.

“Ini sama sekali berbeza pada zaman 80-an apabila Jabatan Pertanian, MADA dan Institut Kemajuan dan Penyelidikan Pertanian (MARDI) berperanan dengan baik dalam penyediaan benih padi berkualiti pada harga yang berpatutan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar ini tentang kemelut isu pembekalan benih padi tidak sah kepada pesawah yang menjadi lebih kronik apabila didapati wujud ‘orang tengah’ yang mengaut keuntungan besar dengan membekalkan benih berpenyakit.

Mengulas lanjut, Che Ani berkata, pihak berkaitan termasuk MADA perlu menyediakan benih padi berkualiti yang mencukupi untuk keperluan pesawah bagi mengatasi masalah penggunaan ‘padi hantu’ di negara ini.

Sambil mengakui penggunaan benih berpenyakit itu di kawasan MADA agak serius, beliau mencadangkan kerajaan memberikan peruntukan kepada agensi terlibat untuk membangunkan tapak benih padi sendiri tanpa mengharapkan daripada pembekal swasta semata-mata.

“Malah, apa yang lebih penting dalam isu ini, kerajaan perlu mewujudkan garis panduan atau undang-undang ketat kepada mana-mana pihak atau syarikat yang ingin menyediakan benih padi kepada pesawah bagi mengelak pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan.

“Pihak MADA juga perlu memperbaiki peranan pegawai-pegawai mereka supaya dapat membantu pesawah-pesawah daripada menjadi mangsa penipuan ejen, broker atau orang tengah dalam isu ini,” katanya yang turut menghargai usaha Utusan Malaysia mengetengahkan isu tersebut. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini