Penyakit sama TFC II terus berulang - Tengku Hazman - Utusan Malaysia

Penyakit sama TFC II terus berulang – Tengku Hazman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 28 April – Meskipun berjaya meraih tiga mata selepas melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas Negeri Sembilan tetapi pengendali Terengganu FC II (TFC II), Tengku Hazman Raja Hassan kurang berpuas hati dengan persembahan anak buahnya.

Jelasnya, selepas memperolehi gol, pemain-pemainnya seakan hilang punca dan gagal mengekalkan rentak permainan seperti dirancang namun dia tetap memuji disiplin tinggi yang ditunjukkan ketika bertahan.

“Corak permainan mereka agak kaku, pemain tidak beraksi seperti biasa sebagai mana yang kita harapkan dan rancang sebelum permainan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya lihat penyakit sama terus berulang, apabila kita mendahului lawan kita hilang punca seperti yang berlaku ketika beraksi menentang PDRM tempoh hari.

“Dalam masa sama, saya lihat semua bahagian tidak begitu tersusun tetapi dari segi bertahan semua pemain menunjukkan disiplin yang baik dan saya berpuas hati,” katanya.

Dalam perlawanan itu, bekas penyerang Negeri Sembilan, Bruno Suzuki muncul penjaring tunggal pasukan tuan rumah menerusi jaringan minit pertama perlawanan untuk memastikan kemenangan menjadi milik TFC II.

Sementara itu, Tengku Hazman turut meluahkan kebimbangan berkenaan prestasi tidak konsisten penyerang utamanya, Akanni Sunday Wasiu yang sering melepaskan peluang terbaik untuk menjaringkan gol.

“Bukan sahaja perlawanan malam ini (malam tadi) dia (Sunday) gagal menghasilkan gol, tetapi saya lihat sudah banyak perlawanan pemain itu gagal menjaringkan gol walaupun mempunyai peluang terbuka.

“Mungkin dia belum menemui sentuhan gol lagi tetapi untuk pusingan kedua nanti jika pemain itu gagal menonjol sedikit sebanyak menimbulkan kegusaran kepada kita,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini