BEIJING – Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) oleh China merupakan rancangan pembangunan bersama negara-negara peserta dan bukan strategi Beijing untuk mendominasi, kata Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Katanya, beliau kini lebih memahami inisiatif pembangunan itu dan menyokongnya kerana ia akan memberi kebaikan kepada negara.
“Kita merasakan rancangan BRI itu bukan rancangan dominasi oleh China, yang akhirnya akan dikuasai oleh China, sebaliknya ia adalah dasar ciptaan semua negara dan bukan hanya tertumpu kepada China, ” katanya hari ini.
Beliau berkata demikian pada sidang media dengan wartawan Malaysia pada akhir lawatan kerjanya selama lima hari ke China untuk menghadiri Forum Jalur dan Laluan untuk Kerjasama Antarabangsa (BRF) kedua yang berakhir semalam.
Forum antarabangsa itu dihadiri 37 pemimpin dari seluruh dunia dan 5,000 wakil dari 150 negara. – Bernama











