SHAH ALAM – Pejabat Raja Muda Selangor menafikan penglibatan Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah dalam program Santai Teh Tarik bersama empat Putra Mahkota yang berlangsung di Mahkota Parade, Bandar Hilir Melaka seperti yang tular di media sosial sejak semalam.
Setiausaha Sulit kepada Raja Muda Selangor, Saidatul Asyikin Muhammad Johar berkata, penggunaan gambar Tengku Amir Shah dalam poster berkenaan juga tanpa kebenaran rasmi pihak Istana Selangor.
Saidatul Asyikin menambah, rakyat diingatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan maklumat palsu yang mengelirukan tanpa pengesahan rasmi pihak Istana.
“Pejabat Raja Muda Selangor menafikan penglibatan Duli Yang Teramat MuliaTengku Amir Shah dalam program Santai Teh Tarik Bersama 4 Putra Mahkota seperti tertera dalam poster yang tular baru-baru ini.
“Penggunaan gambar Raja Muda Selangor tanpa kebenaran rasmi pihak Istana Selangor juga amatlah dikesali,”katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam akaun rasmi Facebook Selangor Royal Office di sini hari ini
Terdahulu, tular di laman sosial poster Program Santai Teh Tarik bersama 4 Putra Mahkota yang dijadualkan jam 5.30 petang esok di Mahkota Parade, Melaka.
Poster terbabit turut memaparkan gambar Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah dan Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Bagaimanapun, gambar seorang lagi Tengku Mahkota tidak dipaparkan dalam poster tersebut.
Selain sesi minum petang, orang ramai turut berpeluang berswafoto bersama empat orang Putera Mahkota itu. – K! ONLINE











