KUALA LUMPUR 27 April – Kos melebihi hasil. Itulah antara dugaan pesawah yang terpaksa berhadapan dengan kerugian teruk apabila tanaman diusahakan diserang penyakit akibat penggunaan benih tidak sah.
Lebih menyedihkan, Muhamad Othman Md. Ali, 63, memaklumkan penat lelah membanting tulang menjadi sia-sia berikutan hasil tuaian diperoleh hanya mencecah 20 peratus daripada jumlah disasarkan iaitu 10 tan bagi sehektar tapak sawah.
“Kalau 20 peratus itu lebih kurang dua tan hasilnya bersamaan kira-kira RM2,000, apa nak makan kalau semua duit itu digunakan untuk beli anak benih, racun dan bayar mesin padi, apa yang tinggal.
“Isteri dan anak-anak perlu diberi makan. Itulah risiko kalau dapat benih padi yang tidak berkualiti, yang kaya orang jual benih, yang teraniaya kami,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di Tanjung Karang, Selangor baru-baru ini.
Ditanya sama ada penggunaan benih tidak sah menjadi punca masalah tersebut, Muhamad Othman menjelaskan, dia tidak menolak kemungkinan tersebut memandangkan agak sukar untuk seseorang petani mengenal pasti varieti benih padi diperoleh.
“Ya, kita tidak tahu asal usulnya dari mana mereka ambil benih itu, mungkin dari kawasan serangan sawah lain sebelum dijual kepada petani.
“Kalau ditaburkan benih daripada guni memang sukar untuk tahu jenis apa, melainkan kita melihat pokoknya, sebab itu padi hantu atau guni putih ini agak berisiko, malah kalau syarikat swasta yang dipertanggungjawabkan kerajaan pun bekal benih berpenyakit menggunakan guni kerajaan, apa kami boleh buat,” katanya.
Sehubungan itu, pesawah terbabit yang sudah mengusahakan tanaman tersebut sejak 1993 amat berharap kerja-kerja pembekalan padi dikembalikan semula kepada Jabatan Pertanian sekali gus sedikit sebanyak dapat membendung masalah benih tidak sah terus menjadi isu yang menghantui industri padi negara.
“Penanam padi cuma mahukan Jabatan Pertanian kembali membekalkan benih-benih padi yang sah kepada penanam padi bukannya melihat kelibat wakil swasta atau ejen yang tidak sah latar belakangnya.
“Mana tidaknya, benih padi main ‘belasah’ saja, yang jadi mangsa adalah petani sedangkan tauke racun dan benih yang terus kaya ,” ujarnya.











