Broker kaut untung, petani terduduk - Utusan Malaysia

Broker kaut untung, petani terduduk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 27 April – Kemelut isu pembekalan benih padi tidak sah kepada pesawah menjadi lebih kronik apabila didapati wujud ‘orang tengah’ yang dikesan mengaut keuntungan besar dengan membekalkan benih berpenyakit atau lebih dikenali ‘padi hantu’.

Gelaran padi hantu itu amat popular dalam kalangan pesawah memandangkan ia bukan diperoleh daripada pembekal sah serta tidak diketahui asal usul termasuk varietinya malah didatangkan hanya dalam guni putih tanpa sebarang label perakuan kerajaan.

Lebih membimbangkan, orang tengah atau pembekal haram terbabit akan bertindak mempromosikan benih tersebut dengan mendakwa pesawah bakal meraih jumlah pengeluaran lebih daripada biasa serta memiliki sifat rintang pelbagai penyakit.

Memuatkan artikel berkaitan…

Keadaan bertambah parah, apabila semakin ramai pesawah menyebarkan fakta tidak benar itu, sembang mulut ke mulut membuatkan ramai terpengaruh dan menggunakannya.

Walhal, benih tersebut tidak mengikut spesifikasi dan pengesahan Jabatan Pertanian selain amat berisiko tinggi berpenyakit termasuk tidak diketahui prestasi hasil pengeluarannya.

Dalam erti kata mudah, penggunaan benih ‘padi hantu’ ibarat pesawah memperjudikan perusahaan mereka di mana keputusan akhir penanaman tiada jaminan.

Menurut sumber, antara punca petani membeli benih cenderung membeli benih ‘padi hantu’ itu adalah kerana faktor harganya yang murah berban­ding benih padi sah.

“Benih ‘padi hantu’ mereka tidak proses, ia hanya dikeringkan dan terus dibungkus dalam guni, paling bahaya kawasan serangan penyakit juga mereka ambil jadikan benih. Itu yang tersebar penyakit ke banyak kawasan seluruh negara.

‘‘Macam-macam nama mereka beri, padi Megawati, Sukarno dan Hibrid untuk promosi, Tetapi yang kasihan petani, mereka tidak tahu pun daripada mana datang benih itu yang akhirnya orang tengah kaya, petani rugi terduduk,’’ katanya kepada Mingguan Malaysia di sini baru-baru ini.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan negara bakal mengalami kemerosotan bekalan beras tempatan berikutan ramai penanam padi di seluruh negara dikesan semakin cenderung menggunakan benih tidak sah yang tidak terjamin hasil pengeluarannya.

Laporan penggunaan benih ‘haram’ yang tidak menepati piawaian di bawah standard Jabatan Pertanian itu amat beri­siko khususnya dalam aspek pengawalan penyakit termasuk menjejaskan tanaman padi peng­usaha lain

Tambah sumber, usaha bagi membendung penjualan benih haram atau padi hantu itu agak rumit berikutan pembekalan itu dilakukan oleh orang tengah yang sukar dikesan.

“Mereka licik guna broker dan urusan jual atas tangan ke atas tangan lain menyebabkan punca pembekalan itu sukar untuk dikenal pasti.

“Broker ini akan bergerak dan pasang kaki di tempat tertentu di setiap negeri bagi membekalkan padi hantu ini,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini