KUALA LUMPUR – Selepas dinobat selaku Pengarah Terbaik menerusi Festival Filem Malaysia ke-30 (FFM30) hujung Mac lalu menerusi filem Crossroad: One Two Jaga, pelakon dan pengarah Nam Ron sekali lagi mengulang kejayaan sama menerusi Anugerah Festival Filem Antarabangsa Asean 2019 (AIFFA2019) semalam.
Pada malam anugerah yang diadakan di Kuching, Sarawak itu, Nam Ron diangkat selaku Pengarah Terbaik, sementara pelakon Amerul Affendi pula membawa pulang kategori Pelakon Pembantu Terbaik.
“Alhamdulillah. Terima kasih Asean International Film Festival Awards atas anugerah ini. Tahniah buat seluruh pasukan One Two Jaga. Tanpa anda, siapalah saya. Maaf kerana tidak dapat bersama kalian,” tulisnya menerusi Instagram.
Kata Nam Ron atau nama sebenarnya Shahili Abdan, 49, beliau menganggap kemenangan yang diraihnya itu merupakan tanggungjawab untuk dipikul selama-lamanya.
“Kemenangan diraikan hanya untuk sehari dua tetapi tanggungjawab yang harus dipikul adalah untuk selama-lamanya.
“Doakan saya agar mampu menghasilkan yang lebih baik kerana saya masih mentah dan lemah,” katanya.
Terdahulu menerusi FFM30, filem terbitan Pixel Play Entertainment itu turut menggondol lima lagi kategori lain iaitu Filem Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Poster Terbaik, Cerita Asal Terbaik dan Lakon Layar Terbaik. – K! ONLINE











