ARAU 28 April – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Saiful Wan Jan bersetuju dengan pandangan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai kerajaan yang dikatakan tunduk dengan cita rasa golongan elit bandar serta gerakan sivil.
Malah katanya, kebimbangan itu pernah disuarakannya beberapa bulan selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) apabila agenda reformasi kelihatan terlalu banyak dipacu oleh golongan ini.
Dalam masa sama, Wan Saiful juga mengelarkan golongan ini sebagai ‘Bangsar bubble’ (busa Bangsar) bagi menggambarkan kehidupan mereka yang lebih senang berbanding majoriti rakyat Malaysia.
“Hari ini, saya gembira kerana kebimbangan tersebut disahut oleh Anwar yang dilaporkan berkata bahawa kerajaan PH terlalu dipengaruhi oleh golongan elit bandar. Inilah juga kelompok yang saya katakan sebagai kelompok yang hidup dalam ‘Bangsar bubble’.
“Mereka memfokuskan hampir semua tuntutan reformasi kepada reformasi institusi. Mereka bercakap mengenai hak asasi manusia, kebebasan kehakiman, kebebasan media, statut-statut antarabangsa, reformasi GLC (syarikat milik kerajaan) dan lain-lain lagi.
“Sedangkan kita yang terlibat dengan politik akar umbi setiap hari berdepan dengan rakyat yang mengeluh mengenai kos sara hidup, jurang kemiskinan, harga getah, padi dan kelapa sawit,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Tambah Wan Saiful, golongan ‘Bangsar bubble’ yang hidup senang ini lantang membuat tuntutan dan mereka ini terpisah daripada warga kampung seperti di Arau, Perlis dan Pendang, Kedah yang hidup susah dan ‘tiada suara’.
Malah kata Wan Saiful, golongan ini juga berpendapat bahawa sokongan merekalah yang menentukan populariti kerajaan PH hari ini.
“Saya menyeru rakan-rakan yang menjadi pemimpin kerajaan agar kembali memberi fokus kepada keperluan asasi rakyat biasa. Rakyat biasa yang mengundi perubahan perlu dibantu. Kontraktor kecil dan usahawan desa yang mendokong perubahan perlu disokong, aktivis reformasi yang berhempas pulas membawa perubahan perlu dijaga kebajikannya.
“Benar reformasi institusi itu penting dan dalam masa yang lebih panjang diperlukan untuk rakyat menikmati kemanisan hasil daripada reformasi institusi. Tetapi keutamaan kita mestilah betul, kebajikan dan kesusahan rakyat harus menjadi keutamaan pertama kita.
“Jika penumpuan kita terlalu banyak kepada reformasi institusi sehingga nasib rakyat marhaen hari ini kita terlepas pandang, itu tandanya kita terlalu terpengaruh dengan pemikiran dari kelompok ‘Bangsar bubble,” katanya yang juga Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).- UTUSAN ONLINE











