KUALA LUMPUR 28 April – Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) dengan kerjasama Fakulti Kejuruteraan Kimia, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam menganjurkan International Occupational Safety Half Marathon (IOSH Marathon) di UiTM Shah Alam hari ini.
Program larian tersebut merupakan satu usaha untuk memasyarakatkan amalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) yang baik kepada para pekerja.
Pengerusi NIOSH, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, kerjasama yang terjalin antara kedua-dua pihak itu akan membolehkan mereka memberi kesedaran kepada seluruh rakyat memahami kepentingan KKP untuk dijadikan budaya hidup mereka.
“Ia amat bersesuaian dengan tema sambutan hari sedunia bagi keselamatan dan kesihatan di tempat kerja tahun ini iaitu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Masa Depan iaitu kita perlu memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan keselamatan serta kesihatan kepada pekerja muda atau belia.
“Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) juga berazam menjamin persekitaran kerja yang selamat kepada semua pekerja menjelang 2030 dan menamatkan semua bentuk buruh kanak-kanak pada 2025,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Yang turut hadir Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof Madya Dr Mohd Fozi Ali , Dekan Fakulti Kejuruteraan Kimia, Prof Dr Norazah Abd Rahman dan Setiausaha Eksekutif NIOSH, Mej (B) Hanif Maidin.
Lam Thye menambah, program itu menyasarkan penyertaan daripada golongan pengamal keselamatan, pekerja, pelajar dan orang awam bagi meningkatkan kesedaran berkaitan KKP serta gaya hidup sihat.
“Program hari ini juga amat signifikan kerana ia menunjukkan peningkatan tahap kesedaran warga universiti tentang kepentingan aspek KKP,” katanya.-UTUSAN ONLINE











