Kenapa lantik Lajim jadi pemerhati? - Utusan Malaysia

Kenapa lantik Lajim jadi pemerhati?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 28 April – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang melantik ahli politik aktif sebagai pemerhati Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan.

Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 dalam kenyataan berkata, pelantikan berkenaan dilihat berhubung kait dengan polisi SPR.

“Adakah SPR mempunyai polisi menentukan sama ada ahli politik yang aktif boleh menjadi pemerhati untuk agensi itu dan sekiranya ada, adakah prosedur operasi standard (SOP) yang jelas untuk membatalkan permohonan menjadi pemerhati?

Memuatkan artikel berkaitan…

“Semalam, di pusat penamaan calon PRK Parlimen Sandakan, Datuk Lajim Ukin telah dilihat memakai baju rasmi pemerhati. Lajim adalah bekas Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) yang kini telah dibubarkan dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, parti yang di dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) yang antara satu parti komponennya iaitu DAP bertanding dalam PRK kali ini,” katanya.

Tambah jawatankuasa itu, pihaknya berpandangan pemerhati pilihan raya sepatutnya adalah individu ataupun organisasi yang tidak berpihak kepada mana-mana parti politik, apatah lagi daripada parti atau gabungan yang sedang bertanding.

Katanya, hal ini selari dengan piawaian ditetapkan oleh Deklarasi Prinsip Global untuk pemerhati dan pemantauan pilihan raya non-partisan oleh Organisasi Sivil(Suruhanjaya Venice).

“Kepentingan untuk pemerhati non-partisan bagi pilihan raya adalah pemerhati perlu menilai keseluruhan integriti proses pilihan raya dan laporan mereka dapat menambah atau merosakkan kesahan keputusan pilihan raya. Adakah ahli politik dapat menjadi pemerhati yang neutral?

“Sekiranya Lajim atau mana-mana ahli politik dilantik menjadi pemerhati, maka SPR perlu menjelaskan atas asas apa mereka dilantik ataupun terdapat kegagalan dalam SOP mereka untuk menapis permohonan menjadi Pemerhati,” ujarnya.

Menurut jawatankuasa itu lagi, pihaknya turut memuji sikap keterbukaan SPR sejak Pilihan Raya Umum ke-14 dalam melantik banyak kumpulan tempatan dan badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Bersih 2.0 sebagai sebahagian daripada program pemerhati.

“Namun, mereka janganlah pula merosakkan integriti program ini dan merendahkan keneutralan SPR dengan melantik ahli politik yang aktif sebagai pemerhati pilihan raya,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini