DUNGUN 28 April – Seorang warga Indonesia maut ditimpa dahan ketika menebang sebatang pokok balak di kawasan pembalakan di Kampung Pasir Raja, Hulu Dungun semalam.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 12 tengah dan mangsa, Suarno Ibrahim, 54, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Mangsa yang tinggal di Bukit Setongkol di Kuantan, Pahang itu dikatakan sudah 20 tahun menjadi pembalak tetapi baharu tiga minggu bekerja di kawasan pembalakan tersebut.
Kejadian disedari rakan sekerjanya, Yazid Abdullah, 45, apabila mangsa tidak pulang ke rumah kongsi sejak pukul 10 pagi setelah keluar menebang pokok berseorangan.
“Saya memang pelik apabila melihat dia masuk ke hutan berseorangan untuk menebang pokok kerana sebelum ini dia (mangsa) mesti masuk bersama rakan.
“Saya kemudian mencarinya sebelum melihat mangsa tertiarap berlumuran darah di atas tanah,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Zon II, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Azmi Ab. Rahim ketika dihubungi berkata, jentera dari balai Al-Muktafi Billah Shah (AMBS) bersama enam anggota bergegas ke lokasi sejurus menerima laporan pukul 3.27 petang.
Katanya, pihaknya terpaksa meredah laluan balak sejauh 6.5 kilometer untuk ke lokasi kejadian dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda milik pekerja di kawasan pembalakan tersebut.
“Anggota penyelamat terus melakukan operasi membawa mangsa yang berlumuran darah keluar daripada lokasi kejadian dan kerja-kerja itu selesai pada pukul 6 petang dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat. – UTUSAN ONLINE











