KUALA LUMPUR 28 April – Lega dan gembira.
Itulah perasaan pengendali Terengganu FC, Irfan Bakti Abu Salim melihat ayam tambatannya, Kipre Tchetche, 31, sudah kembali menemui sentuhan terbaik.
Tandukan penyerang Ivory Coast itu pada minit ke-78 memastikan Terengganu menumpaskan Petaling Jaya (PJ) City 2-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Petaling Jaya, semalam.
Ia adalah gol keempat Tchetche dalam tiga perlawanan terakhir (semua pertandingan), malah dia membantu skuad Penyu mencatat kemenangan liga kedua berturut-turut, sekali gus menghuni tangga ketujuh.
“Tchetche sudah kembali kepada prestasinya seperti sebelum ini, bukan setakat menjaringkan gol malah dia sangat selesa dengan bola.
“Dia berani menggelecek lawan dan hari, ini kita lihat tidak kurang tujuh percubaan dilakukan olehnya.
“Dia hanya berjaya menjaringkan gol menerusi kepala, sedangkan dia banyak melakukan percubaan menggunakan kaki,” kata Irfan.
Dalam perlawanan itu, PJ City terlebih dulu membuka jaringan pada minit ke-38 selepas P. Rajes menyempurnakan hantaran cantik Safee Sali.
Tersentak dengan jaringan itu, Terengganu melancarkan serangan bertali arus dan tekanan tersebut memaksa pemain tuan rumah melakukan kesilapan.
Hantaran silang yang dilakukan oleh Adib Aizuddin terkena kaki bek tengah PJ City, B. Tinagaran untuk memberi gol penyamaan buat Terengganu pada minit ke-67. – UTUSAN ONLINE











