MANCHESTER 28 April – Paul Pogba telah meminta Manchester United menjualnya kepada Real Madrid sebaik sahaja musim ini berakhir, malah sudah mencapai persetujuan dengan gergasi bola sepak Sepanyol itu.
Menurut media Britain, perancang utama Perancis tersebut hampir pasti meninggalkan Old Trafford dan bersetuju dengan kontrak 10.3 juta pound (RM55 juta) setahun bersama Real.
Pogba, 26, sebelum ini turut dikaitkan dengan bekas pasukannya, Juventus, namun dia lebih berminat untuk menyertai Real yang kembali dibimbing legenda Perancis, Zinedine Zidane.
Menurut akhbar Sepanyol, AS, Pogba membuat keputusan sendiri berhubung masa depannya, dan meminta United agar melepaskannya.
Bagaimanapun, Red Devils dikatakan hanya akan melepaskan pemain itu pada harga 130 juta pound (RM693.94 juta).
Pogba yang menyertai United pada 2016 menjangkakan United tidak akan beraksi dalam Liga Juara-Juara musim depan, malah bimbang dengan hala tuju pasukan di bawahOle Gunnar Solskjaer.
Selain Pogba, Real juga sedang berusaha mendapatkan perancang utama Chelsea, Eden Hazard. – AGENSI











