BARCELONA 28 April – Gol tunggal Lionel Messi memastikan Barcelona menjulang kejuaraan La Liga buat kali ke-26 ketika saingan masih berbaki tiga perlawanan selepas menewaskan Levante 1-0 di Camp Nou, hari ini.
Masuk sebagai pemain gantian, Messi meledak gol kemenangan Barca pada minit ke-62 untuk memberikan kemenangan kelapan dalam tempoh 11 tahun.
Selepas melepasi dua pertahanan lawan, kapten Barcelona itu menyambut hantaran Arturo Vidal sebelum melepaskan rembatan kaki kanan ke penjuru gawang Levante.
Messi direhatkan bersama Sergio Busquets kerana pengurus Barcelona, Ernesto Valverde turut memberi fokus kepada separuh akhir Liga Juara-Juara menentang Liverpool, Rabu ini.
“Messi sentiasa bersedia untuk bermain pada bila-bila masa tetapi kami juga ada perlawanan penting, Rabu ini jadi dia (Messi) perlu kekal cergas.
“Ia tidak mudah untuk memenangi gelaran ini, terutama dengan jurang yang besar. Kami telah melakukannya selama dua musim berturut-turut, ia sesuatu yang perlu diraikan,” kata Valverde.
Barcelona mengumpul 83 mata daripada 35 perlawanan untuk mengetepikan pencabar rapat, Atletico Madrid dengan kelebihan tujuh mata.
Real Madrid di tangga ketiga menerusi 65 mata manakala Getafe dan Sevilla masing-masing di tempat keempar serta kelima dengan berkongsi 55 mata.
Lebih 91,000 penonton di Camp Nou bersorak sebaik sahaja Messi mengesahkan kemenangan mereka selepas meledak gol ke-34 dalam 32 penampilan musim ini, malah dia turut mencipta 13 gerakan gol keseluruhan. – AGENSI











