SEGAMAT 28 April – Seorang pemandu lori tangki maut selepas kenderaan dipandunya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 167, Jalan Johor Bahru-Seremban, berhampiran Kampung Tenang, dekat sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, mangsa disahkan maut di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Raub Selamat berkata, hasil siasatan awal mendapati lori tangki dari arah Johor Bahru menghala ke Seremban itu dipercayai hilang kawalan ketika tiba di lokasi kejadian.
“Lori dipandu mangsa hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan dan menyebabkan kedua-dua kenderaan berat berkenaan bertembung.
“Rempuhan itu menyebabkan pemandu lori tangki mengalami parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE











