MANCHESTER – Manchester City bakal memulakan perjuangan untuk mempertahankan gelaran Liga Perdana England dengan menentang Burnley malam ini.
Aksi di Turf Moor itu menjadi permulaan untuk dua aksi getir berikutnya apabila mereka bakal berdepan Leicester City dan Brighton pada perlawanan berikutnya dalam misi menyekat Liverpool untuk merampas gelaran liga.
City ketinggalan dua mata di belakang Liverpool ketika ini selepas skuad kendalian Jurgen Klopp itu menang besar 5-0 mengatasi Huddersfield awal pagi semalam.
Bagaimanapun, City yang juga bakal berdepan Watford pada aksi final Piala FA pada 18 Mei nanti melaungkan keyakinan bahawa mereka mampu untuk mengekalkan kejuaraan buat musim kedua berturut-turut sekali gus melengkapkan gelaran trebel selepas memenangi Piala Liga England sebelum ini.
“Musim lepas kami tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara tetapi memenangi gelaran di sini.
“Kami tidak terlalu memikirkan mengenai aksi final Piala FA tetapi kebimbangan sebenar kami adalah menentang Burnley, Leicester dan Brighton.
“Kami perlu memberikan sepenuh perhatian terhadap perlawanan liga,” kata pengurus City, Pep Guardiola. –Agensi











