Jangan ambil mudah cabaran China - Subahan - Utusan Malaysia

Jangan ambil mudah cabaran China – Subahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 27 April – Skuad hoki kebangsaan tidak ada pilihan lain kecuali menang, dalam perlawanan menentang pasukan ranking ke-14 dunia, China, di Stadium Hoki Bukit Jalil, malam esok.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal berkata, beliau pasti pasukan tembok besar itu akan bermain dengan lebih baik esok, selepas kecundang mengejut 1-2 kepada Itali, semalam.

“Walaupun kita bermula cemerlang dalam Kejohanan Hoki Siri Final FIH 2019 dengan mengalahkan Brazil 6-0 malam semalam, saya mahukan semua pemain bekerja keras, tidak mengambil mudah dan memandang rendah pihak lawan dalam kejohanan ini. Kita boleh lihat bagaimana Kanada (ranking ke-10 dunia) dikalahkan Wales (ranking ke-24) 1-3.

Memuatkan artikel berkaitan…

“China seperti yang kita tahu, bermain dengan baik dalam Piala Dunia, jadi, kita perlu bersedia. Saya percaya China akan bermain dengan lebih baik daripada malam tadi, disebabkan ini adalah perlawanan antara hidup atau mati, tetapi saya yakin dengan pasukan kita. Kita akan bermain di final dan Insha-Allah esok kita akan mengalahkan China,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Subahan berkata demikian ketika ditemui pada Kejohanan Liga Hoki Bawah 16 Negeri Sembilan, di sini yang turut dihadiri Timbalan Presiden MHC, Prof Datuk Dr S. Shamala dan Presiden Persatuan Hoki Negeri Sembilan, Datuk Zazali Salehudin.

Mengulas lanjut, Subahan berkata, beliau telah bertemu jurulatih negara Roelant Oltmans dan para pemain di Kuala Lumpur petang tadi, dan mendapati semangat mereka amat tinggi. Perlawanan Kumpulan B akan bersambung, esok, dengan Brazil menentang Itali pada pukul 6.05 petang, manakala, Malaysia bertemu China pada sebelah malam.

Dua pasukan terbaik dalam kejohanan lapan negara itu akan layak ke pusingan seterusnya Kelayakan Olimpik.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Subahan berkata, MHC telah memperuntukkan kira-kira RM50,000 kepada 14 persatuan hoki negeri di bawah MHC, untuk menganjurkan kejohanan liga yang bertujuan melahirkan lebih ramai bakat dalam kalangan belia.

Katanya, MHC bercadang meningkatkan peruntukan itu sehingga RM100,000, namun, ia bergantung kepada tajaan.

“Saya harap kita akan dapat tingkatkan ke RM100,000, tetapi saya tidak mahu membuat sebarang janji,” katanya dan menambah, ini tahun keempat sejak liga itu bermula pada 2015.

Terdahulu, TBSS SR dinobatkan sebagai juara bagi kategori lelaki manakala SSN Zaba A, bagi katogeri perempuan dalam perlawanan akhir Liga Hoki Bawah 16 Negeri Sembilan yang disertai 11 pasukan lelaki dan lapan pasukan perempuan, bermula 4 April. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini