LONDON 27 April – Tottenham tewas buat kali pertama di stadium baharu mereka selepas jaringan tunggal Michail Antonio memastikan kejayaan 1-0 West Ham ke atas seteru kota London itu dalam saingan Liga Perdana Inggeris.
Skuad kendalian Mauricio Pochettino berjaya meraih kemenangan dalam semua empat perlawanan di Stadium Tottenham namun penyudah klinikal Antonio pada separuh masa kedua menyaksikan dia menjadi pemain pelawat pertama yang menjaringkan gol di stadium itu.
Spurs yang berada di kedudukan ketiga mengalami kekalahan kedua dalam tiga perlawanan terakhir mereka dalam saingan Liga Perdana Inggeris sekali gus memberi kesukaran kepada mereka untuk menamatkan saingan dalam kelompok empat pasukan terbaik.
Spurs kini hanya memiliki kelebihan tiga mata mengatasi Chelsea yang menghuni kedudukan keempat dan empat mata mengatasi Arsenal di kedudukan kelima dengan kedua-dua pasukan akan beraksi, esok.
Keputusan itu meletakkan mereka dalam keadaan kurang selesa dengan mereka akan menerima kunjungan Ajax bagi saingan separuh akhir pertama Liga Juara-Juara, Rabu ini.-AFP











