Bunyi deruan angin dapat didengari ketika menyusuri sebatang jalan raya yang lengang di perkampungan kecil Nagoro yang terletak di kawasan pergunungan terpencil, barat Jepun.
Walaupun lengang, di kiri dan kanan jalan raya kelihatan seolah-olah sibuk dengan deretan patung bersaiz manusia yang bilangannya melebihi penduduk Nagoro yang berjumlah 27 orang.
Nisbah patung dengan manusia yang terdapat di kampung itu ialah 10 patung berbanding seorang penduduk, kesemuanya hasil kerja tangan seorang wanita, Tsukimi Ayano, yang berusia 69 tahun.
Tujuannya hanyalah untuk mengatasi kesunyian dan kekosongan yang menyelimuti Nagoro, seperti yang berlaku di kebanyakan kampung di negara matahari terbit itu ekoran kepupusan manusia.
Nagoro yang terletak kira-kira 550 kilometer di barat daya Tokyo mula dikenali sebagai lembah patung selepas wanita itu meletakkan patung-patung berkenaan di sepanjang jalan raya bagi menghidupkan suasana kampung tersebut.
“Hanya 27 penduduk yang masih menetap di kampung ini tetapi jumlah patung lebih banyak, mungkin dalam 270 patung,’’ katanya.
Menurut wanita berkenaan kepada AFP, semuanya bermula kira-kira 16 tahun lalu apabila dia membuat `orang-orang’ yang memakai pakaian bapanya dengan tujuan menghalau burung daripada memakan biji benih yang disemai di tamannya.
“Seorang pekerja di taman itu menyangka orang-orang itu bapa saya lantas menegurnya,’’ kata Ayano yang menyifatkan kejadian tersebut amat melucukan.
Sejak itu, dia tidak berhenti membuat patung bersaiz manusia menggunakan kayu, suratkhabar untuk disumbat ke dalam bahagian badan patung selain fabrik elastik sebagai kulit patung dan benang kait dijadikan rambut.
Ayano hanya memerlukan masa selama tiga hari untuk menyiapkan patung berkenaan yang kini diletakkan merata-rata tempat di seluruh kampung tersebut.
Rahsia untuk menampakkan patung itu seperti manusia kata Ayano ialah menyapu warna merah jambu pada bibir dan pipi patung menggunakan berus solek.
Di sebuah sekolah rendah berhampiran, Ayano meletakkan 12 patung bersaiz kanak-kanak seolah-olah sedang duduk membaca buku di atas meja.

Sekolah berkenaan ditutup sejak tujuh tahun lalu kerana tiada lagi kanak-kanak yang hendak diajar.
“Tiada lagi kanak-kanak di kampung ini malah manusia paling muda di kampung ini berusia 55 tahun,’’ katanya.
Di hujung jalan raya terdapat sebuah `keluarga’ patung yang duduk bersantai di hadapan sebuah kedai runcit terbiar manakala sebuah patung yang memakai pakaian petani kelihatan menjenguk sebuah kedai di sebelahnya.
Berhampiran perhentian bas, beberapa patung duduk dalam satu kumpulan manakala sebuah patung `bapa’ sedang menarik kereta sorong yang dipenuhi `kanak-kanak’.
Ayano teringat sewaktu kecilnya, Nagoro pernah dihuni oleh 300 penduduk dan buruh yang bekerja dalam industri perhutanan dan pembinaan.
“Perlahan-lahan mereka pergi meninggalkan kampung ini. Suasana semakin sunyi sekarang. Saya rasa lebih banyak patung yang saya buat sekarang berbanding semasa kampung ini masih ramai penduduk,’’ katanya.
Walaupun tiada statistik rasmi tentang kepulangan penduduk ke Nagoro, patung-patung yang dibuat Ayano telah menarik minat ramai pelancong dari luar sejauh Amerika Syarikat (AS) dan Perancis.
“Sebelum saya membuat patung-patung ini, tiada siapa yang sudi singgah di kampung ini tetapi kini ramai yang melawat Nagoro,’’ katanya.
Dia berharap Nagoro akan ceria semula apabila lebih ramai pengunjung datang ke perkampungan itu untuk bersiar-siar.
“Saya tidak tahu apa yang akan berlaku kepada Nagoro dalam tempoh 10 atau 20 tahun akan datang tetapi saya akan terus membuat patung,’’ katanya.
Kegetiran yang dihadapi Nagoro mewakili keadaan sebenar di seluruh Jepun ketika negara ekonomi ketiga terbesar di dunia itu bergelut dengan jumlah penduduk yang semakin menyusut, kadar kelahiran rendah dan kos sara hidup tinggi.
Jepun bakal menjadi negara `ultra-usia’ pertama di dunia apabila sebanyak 28 peratus penduduknya berusia 65 tahun atau lebih daripada itu.
Laporan terbaharu yang disiarkan kerajaan menunjukkan 27.7 peratus daripada sebanyak 127 juta penduduknya iaitu seorang daripada empat orang, berusia 65 tahun atau lebih dan angka itu dijangka meningkat kepada 37.7 peratus pada 2050.
Dianggarkan 40 peratus daripada 1,700 kawasan perbandaran diklasifikasikan sebagai kekurangan penduduk.
Selepas perang dunia ke-2 ketika ekonomi negara itu dikuasai oleh industri perhutanan dan pertanian, ramai penduduk Jepun tinggal di kawasan kampung atau luar bandar seperti Nagoro.
Namun golongan muda mulai meninggalkan kampung halaman masing-masing untuk berhijrah ke Tokyo pada tahun 1960-an, kata pakar ekonomi Institut Penyelidikan Jepun, Takumi Fujinami.
“Ketika itu ekonomi semakin pesat di Tokyo dan di kawasan industri lain malah kawasan itu sahaja yang dilihat mampu menjana pendapatan kepada penduduk. Maka ramai golongan muda pindah ke kawasan industri,’’ katanya.
Perdana Menteri, Shinzo Abe berikrar untuk membangunkan kawasan luar Tokyo dengan memperuntukkan berbilion-bilion yen namun langkah tersebut gagal menghalang golongan muda meninggalkan kampung mereka untuk bekerja di ibu kota.











