Bahawasanya saya,______________ (sila letak nama penuh anda seperti di dalam kad pengenalan, bukan Facebook) membuat aduan rasmi mengenai tingkah laku orang-orang di dalam pejabat ___________ (nyatakan jabatan/ unit) yang saya kategorikan sebagai jelek dan menjejaskan produktiviti organisasi kita.
Tuan boleh menghantar pasukan penyiasat Jabatan Sumber Manusia sama ada sahih atau tidak. Oleh kerana surat ini tertera nama saya, maka ia bukan surat layang. Justeru, saya mohon surat ini tidak ditong sampahkan.
Warkah aduan ini menyatakan kesalahan mengikut kaedah yang disyorkan oleh Merrepak setiap kali sambutan Hari Pekerja seperti ini:
1. Datang bekerja tepat waktu
Ini terutama pejabat kita tidak menggunakan sistem punch card, semua tahu kita bermula 9 pagi dan segelintir muncul 10 pagi. Ada yang datang 9 pagi, tapi 9.05 pagi dia ke kafe dan muncul semula sejam dua kemudian.
2. Sengaja lewat
Kita ada mesyuarat harian 10 pagi. Ada mesyuarat mingguan bersama bos-bos. Tapi seorang dua ini memang sengaja masuk lewat. Mereka tidak menghormati rakan sepejabat, bongkak terhadap sistem kerja dan biadab terhadap bos-bos.
3. Makanan berbau
Dalam keadaan ekonomi negara tidak baik sekarang, semua digalak berjimat. Tidak salah bawa bekal. Masalahnya, makan di meja kerja adalah sangat tidak sihat. Makanan bersepah, berbau dan bising yang memberi impak serius terhadap kesejahteraan rakan sepejabat lain, termasuk yang terliur melihat anda makan tanpa mengajaknya sekali.
4. EL
EL atau cuti kecemasan, adalah keistimewaan di bawah undang-undang kepada pekerja yang berdepan situasi mengejut seperti kematian ahli keluarga, kemalangan, kena rompak atau demam. Tetapi kekerapan mengambil EL pasti menimbulkan tanda-tanya rakan sepejabat, seolah-olah itu menjadi hak peribadi.
5. Negatif
Dalam semua situasi, jawapan diberi mesti condong ke arah `tak boleh, susahlah’. Sikap ini diterjemahkan sebagai `enggan bekerjasama’. Begitu juga mereka yang suka merungut. Gaji lewat, merungut di Facebook. Cuti dipotong, marah besar sampai mak cik kantin pun tahu.
6. Pengotor
Pernah terjumpa cawan tidak bercuci di singki bilik pantri? Ada sampai membusuk sebab berhari-hari terbiar. Kita tahu siapa punya angkara. Nama dia ada pada cawan. Berbanggakah dikenali rakan sepejabat sebagai pengotor? Samalah meja kerja. Berselerak. Hendak cari tetikus pun susah.
7. Main gajet
Mengadakan mesyuarat bukan suatu ritual semata-mata tetapi peluang untuk semua orang aktif di dalam perbincangan. Bila ada yang bermain telefon, berbalas WhatsApp, ia merencatkan kelancaran sesi cambah minda. Yang jelas, anda tidak peduli pun apa yang dibincangkan.
8. Menyampuk
Mesti ada kaki sanggah di mana-mana organisasi. Mesti ada berkelakuan ketua pembangkang. Bila orang bagi cadangan, dia mencelah, menyampuk dan mempertikai. Semua ini perlakuan kurang sopan sebab tidak menghormati orang lain yang mahu bersuara.
9. Terhandal
Berbincang bertujuan mencari penyelesaian terbaik. Bukan salah menyalah, apatah lagi jika pasukan yang ada pada organisasi sangat kecil. Bila bersikap tunding jari, apakah dia mengatakan dia seorang yang paling handal kerana tidak berbuat silap?
10. Cakap besar
Untunglah ada suami kaya-raya. Layaklah berkereta Jerman ke pejabat. Tetapi wajarkah bercerita mengenai kos servis kereta Jerman anda itu dengan rakan sepejabat yang sekadar memiliki Kia Picanto?
11. Kebersihan diri
Kalau hendak dikaitkan kejadian tiada air di Lembah Klang, ia baru berlaku minggu lepas. Kenapa bau hamis? Jimat air atau memang malas mandi pagi? Tak cukup itu, pakaian kerja kusut masai, tidak bergosok. Pelawat datang pejabat, pasti beranggapan warga organisasi anda lekeh.
12. Masalah peribadi
Menurut satu kajian, terdapat dua isu yang ketara bila seseorang itu berbicara mengenai masalah peribadi di tempat kerja. Pertama, anda tidak tekun bekerja kerana sibuk memikirkan hal peribadi. Kedua, masalah peribadi yang tidak putus-putus memberi gambaran anda tidak tahu menyelesaikan masalah, apa lagi berkaitan kerja. Jadi, tempat terbaik bercerita hal peribadi ialah di luar pejabat.
13. Aktif berpolitik
Jika seseorang itu aktif berpolitik di luar, kemungkinan dia berpolitik di dalam pejabat sangat besar. Ini terutama terhadap mereka yang tidak sehaluan dengan parti yang didokong. Suasana pejabat pasti menjadi suram dan muram bila bertelagah. Yang sama parti pun boleh gelisah, jika seorang sokong presiden dan seorang sokong penaung.
14. Membawang
Lazimnya ini berlaku bila seseorang itu merasa diri disayangi bos, gaji besar, sangat senior, semua orang tidak sepintar dia atau tiada siapa berbakti besar kepada organisasi seperti dia. Tidak semena-mena terpacul mulut mencela atau membawang rakan sepejabat. Orang yang dicela pasti tersinggung. Orang yang mendengar celaan itu pun sama.
Sekian, terima kasih.
Yang benar,
———————————-
Nama:__________________
No kakitangan: ______________











