SETIAP negara ada ketua. Pertama, ketua negara dan kedua, ketua kerajaan. Dalam hal ini, ada negara yang ketua negara dan ketua kerajaan adalah pemimpin yang sama seperti negara yang mengamalkan monarki mutlak.
Di Malaysia, Yang di-Pertuan Agong adalah ketua negara manakala Perdana Menteri merupakan ketua kerajaan. Di peringkat negeri juga begitu, raja atau Yang di-Pertua Negeri adalah ketua negeri dan menteri besar/ketua menteri pula ketua kerajaan negeri.
Bukan sahaja di Malaysia tetapi di hampir 40 negara lagi yang mengamalkan raja berperlembagaan juga amalannya begitu. Negara terbaharu beralih daripada monarki mutlak kepada raja berperlembagaan adalah Bhutan pada 2008.
Cuma di Malaysia lagi unik, sebuah negara Persekutuan dengan sembilan daripadanya negeri beraja dan raja-raja Melayu itu tadi bergilir pula sebagai Yang di-Pertuan Agong. Walaupun satu seumpamanya di dunia namun terbukti berjalan dengan baik.
Sejarah raja berperlembagaan bertitik tolak daripada amalan di United Kingdom (UK) hampir 400 tahun dulu yang mana kuasa raja daripada mutlak kemudiannya dibataskan seperti dinyatakan dalam perlembagaan.
Ada yang memahami konsep ini meletakkan raja sebagai simbol semata-mata yang menjalankan tugas-tugas ketua negara dengan mengikut nasihat Perdana Menteri dan Kabinet. Yang mentadbir negara adalah ketua kerajaan iaitu Perdana Menteri.
Asasnya sebegitu tetapi amalannya berbalik kepada perlembagaan setiap negara. Antara Thailand dengan Belanda tidak sama. Malaysia juga ada ciri-ciri tersendiri yang dianggap sesetengah pakar perlembagaan bahawa raja-raja bukan hanya simbol dalam perkara tertentu.
Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan juga menyebut walaupun bertindak atas nasihat tetapi Seri Paduka mempunyai hak untuk mengetahui tentang hal ehwal semasa negeri.
Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja ada tugas-tugasnya seperti digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan. Malah ada perkara yang memerlukan persetujuan atau perundingan dengan Majlis Raja-raja.
Antaranya sebarang pindaan yang menyentuh kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera di bawah Perkara 153 selain mengubah sempadan negeri seperti terkandung dalam Perkara 2 Perlembagaan.
Jika tidak kerana pindaan Perlembagaan pada 1993, setiap akta yang diluluskan di Parlimen atau enakmen di Dewan Undangan Negeri (DUN) hanya boleh berkuat kuasa selepas diperkenankan Yang di-Pertuan Agong atau raja.
Kesemua perkara ini ditafsirkan sebahagian pakar bahawa Perlembagaan sewaktu digubal memberikan peranan proses semak dan imbang kepada raja-raja di sebalik konsep raja berperlembagaan.
Pastinya ia mesti dilaksanakan dalam ruang lingkup Perlembagaan. Tidaklah boleh menafikan hak raja yang digariskan dalam Perlembagaan dan begitu juga sebaliknya jika melakukan sesuatu di luar Perlembagaan kerana Malaysia bukan monarki mutlak.
Pokoknya berpegang teguh kepada Perlembagaan supaya pemisahan itu jelas antara kuasa ketua kerajaan dan ketua negara/negeri. Pada masa sama ciri-ciri setiap pemerintahan berevolusi mengikut peredaran masa, tidak terkecuali konsep raja berperlembagaan.
Ini seperti penarikan kekebalan kepada ketua negara atau ketua negeri daripada pertuduhan jenayah menerusi pindaan Perlembagaan pada 1993. Customary international law juga begitu, berubah kerana berpaksikan prinsip tiada siapa mengatasi undang-undang.
Prinsip ini yang diamalkan di peringkat Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) hinggakan Kesatuan Afrika pernah bersidang meminta imuniti diberikan kepada ketua negara.
Cuma pemisahan antara bidang kuasa ketua negara dengan ketua kerajaan adakalanya menyentuh ‘kawasan kelabu’ yang memerlukan hemat antara ketua negara atau ketua negeri dan ketua kerajaan di sebalik pengaruh masing-masing dalam masyarakat.
Kawasan kelabu ini yang menjadi polemik. Bukan sahaja seperti yang berlaku sekarang berhubung isu pelantikan Menteri Besar tetapi juga sebelum-sebelum ini antaranya pembubaran DUN. Kuasa siapa?
Justeru, penyelesaian yang tidak boleh dielakkan apabila wujud pertikaian antara Persekutuan dan negeri adalah di Mahkamah Persekutuan, iaitu mahkamah tertinggi negara. Menafsir perlembagaan atau undang-undang tugasnya terletak pada mahkamah.
Ini adalah pemisahan kuasa dalam demokrasi. Sebab itu, penting badan kehakiman bebas supaya semak dan imbang berlaku. Tujuannya supaya tidak ada yang berkuasa mutlak walaupun badan eksekutif yang diterajui Perdana Menteri sebagai ketua kerajaan.
Sebabnya yang tertinggi di negara ini adalah Perlembagaan Persekutuan. Tiada siapa boleh mengatasi Perlembagaan. Tidak ada undang-undang yang boleh bercanggah Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan yang dibentuk sewaktu kemerdekaan negara berdasarkan konsep Persekutuan yang menjamin hak-hak sah semua negeri. Hal itulah terkandung dalam Perkara 1 Perlembagaan. Buka Perlembagaan, itu akan ditemui dulu.
Sebabnya, tiada negeri tiada Persekutuan Malaysia. Seperti Amerika Syarikat (AS), negeri-negeri bersepakat membentuk sebuah negara dan kemudian menyerahkan sebahagian kuasa kepada kerajaan Persekutuan yang dibentuk mereka. Antaranya pertahanan dan dasar luar.
Di AS, hal ini cukup dipelihara. Pemisahan cukup jelas antara kuasa negeri, Persekutuan dan juga kuasa bersama. Maka identiti Malaysia iaitu ketertinggian Perlembagaan, raja berperlembagaan dan negara persekutuan harus dijunjung tinggi.











