Diam tidak diam, sudah hampir setahun Pakatan Harapan (PH) berjaya menumbangkan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Mei tahun lalu.
Sepanjang setahun memegang tampuk kuasa pelbagai isu daripada kos sara hidup hingga pertembungan kuasa politik telah melatari slot berita utama tanah air. Lebih menimbulkan kerisauan banyak pihak mengenai tanggapan bahawa kerajaan hari ini tidak stabil dan hanya menunggu masa untuk tumbang.
Sama ada benar atau tidak dakwaan ini, wartawan Mingguan Malaysia, SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH dan HAKIMI ISMAIL bersama jurugambar RAZAK LATIF dan ABDUL NAZIR MOHAMED telah menemu bual Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, DATUK SERI SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL dan Pensyarah Kanan Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), DR. MUHAMAD NADZRI MOHAMED NOR di pejabat mereka, baru-baru ini bagi mendapatkan pendapat mereka mengenai prestasi kerajaan PH sepanjang setahun mentadbir negara.
MINGGUAN: Sepanjang setahun mentadbir Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), apakah pencapaian yang berjaya dilakukan?
SAIFUDDIN: Apabila kerajaan baharu mengambil alih, kos sara hidup mendapat tumpuan meluas jemaah menteri dan mereka bersetuju mewujudkan Majlis Tindakan Ekonomi dengan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail manakala kementerian ini menjadi sekretariat. Sejak ditubuhkan pada Ogos tahun lalu, kami berjumpa dua kali setiap tiga bulan. Sepanjang setahun ini, majlis ini mengumpul banyak idea yang kita pecahkan kepada tiga kategori iaitu jangka pendek, pertengahan dan panjang.
Antara langkah jangka pendek adalah membantu pengguna kenderaan awam di Lembah Klang dengan memperkenalkan pas perjalanan tanpa had My100 dan My50 sebagai langkah mengurangkan kos sara hidup rakyat.
Selain itu, majlis ini turut mengesyorkan program food bank yang bertujuan memberikan bantuan secara langsung kepada golongan memerlukan. Sehingga kini hampir semua negeri dan separuh universiti awam menggerakkan program ini.
Dari segi sokongan logistik pula Kementerian Kewangan memberikan RM3 juta. Dengan peruntukan itu kami akan membeli 14 trak yang dilengkapi peti sejuk yang boleh menyimpan barangan basah. Ketika ini kami masih dalam proses perolehan trak ini.
Pada masa sama, antara cadangan masa pendek lain adalah untuk mengurangkan tambang komuter hingga 20 peratus, ini adalah cadangan oleh kementerian ini.
Untuk pelan jangka pertengahan, dalam masa setahun saya membuat analisis mengenai rantaian bekalan dan apakah faktor menyumbang kepada kenaikan harga. Apabila kita membuat analisis rantaian bekalan makanan memang ada barang yang naik dan ada yang kekal dan turun.
Untuk pelan jangka masa panjang pula, kita dapati isu kos sara hidup adalah isu kemampuan dan ia juga berkait dengan soal upah dan gaji. Sebelum ini, kerajaan PH mengumumkan mengenai gaji minimum bagaimanapun ia telah mendapat reaksi pelbagai daripada persatuan majikan yang menganggap kenaikan ini sebagai kos dalam perniagaan dan kemudiannya memindahkan kepada pengguna.
Selain itu adalah aspek penguatkuasaan, fungsi penguatkuasa KPDNHEP sangat penting, sehingga kini kami ada 2,294 pegawai dan untuk tahun ini kami mendapat tambahan 100 orang lagi tetapi fungsi mereka bukan hanya menjaga harga barang bahkan turut memantau barang tiruan, penyeludupan minyak masak, gas, cetak rompak dan rokok seludup.
Jika dilihat dari segi aduan dalam tempoh setahun, paling banyak adalah aduan harga barang iaitu 45 peratus, kedua penipuan atas talian yang mencecah 25 peratus dan ketiga iklan mengelirukan. Dalam aduan harga barang paling banyak melibatkan harga makanan dan minuman, restoran serta kedai makan.
Kenapa orang sangat sensitif isu ini? Ini kerana 30 peratus belanja bulanan adalah melibatkan makanan, setiap kali rakyat dapat gaji mereka akan habiskan membeli barang makanan.
Penipuan atas talian pula saya jangkakan mengatasi aduan makanan dan minuman tidak lama lagi, ini kerana e-dagang sedang berkembang dan orang boleh menjual apa saja , kalau mereka menggunakan platform seperti Lazada dan Shopee kita mudah kesan tetapi kalau menggunakan alat lain untuk menjual kita tidak boleh kesan. Undang-undang yang ada sebenarnya mencukupi tetapi trend ini sangat membimbangkan.
Adakah kenaikan harga barang disebabkan cukai jualan dan perkhidmatan (SST)?
SAIFUDDIN: Ikan sebagai contoh, SST kosong tetapi turun sampai 40 peratus, ada yang dikenakan SST hingga 10 peratus tetapi harganya turun misalnya pada Mei tahun lalu harga pisau cukur jenama Gillete Razor ialah RM20.43 tetapi pada Mac lalu harganya turun kepada 15.15 sen. Bagaimanapun, ada juga SST kosong tetapi naik, sepatutnya tidak naik, ini bermaksud walaupun Kementerian Kewangan mengeluarkan senarai berkenaan SST tetapi pengecualian cukai itu tidak dipindahkan kepada pengguna untuk menikmatinya.
Bagaimana pula isu subsidi bersasar, adakah akan dilaksanakan atau sebaliknya?
SAIFUDDIN: Isu subsidi bersasar memang janji PH, jadi apabila kerajaan membuat Bajet 2019 kita masukkan perkara ini dalam ucapan bajet sebagai polisi. Sekarang semua sudah selesai kecuali data pengguna yang layak untuk menerima subsidi.
Isu lain, adalah kalau kerajaan hendak berikan subsidi 30 sen seliter untuk 100 liter sebulan ia bermaksud RM30 sebulan. Jumlah 30 sen ini pula perlu menggunakan penanda aras yang mana?
Harga RON95 kita sudah tetapkan setiap bulan, kalau hendak ikut harga minyak dunia kita kena tengok harga RON97 sebab tidak ditetapkan. Jadi pilihan kita sama ada hendak mulakan pemberian subisidi bersasar atas 30 sen daripada harga RON95, RM2.08 atau 30 sen daripada harga apung, jadi perkara ini Kabinet belum membuat keputusan lagi.
Sepanjang setahun PH menjadi kerajaan, ada pihak melihat kerajaan PH goyah, benarkah tanggapan ini?
SAIFUDDIN: Kalau saya tolak tanggapan ini mesti bersebab, petunjuk saya PH ini kompak dan berfungsi dengan baik sejak menang PRU lalu malah, sehingga sekarang tidak pernah kita tidak berjumpa untuk menghadiri mesyuarat Majlis Presiden, sibuk macam mana sekali pun tetap akan berjumpa.
Saya fikir tanggapan ini terbit daripada keputusan tiga pilihan raya kecil (PRK) lalu. Sebenarnya kalau kita tengok PH hanya kalah sekali iaitu di Semenyih. Kerusi Cameron Highlands ialah kerusi BN manakala kerusi Rantau kerusi Datuk Seri Mohamad Hasan.
Sebelum ini PRK di Balakong, Seri Setia dan Sungai Kandis yang mana adalah kerusi PH kita menang tetapi Semenyih yang merupakan kerusi PH kita kalah, hanya ini yang kita kalah tapi tanggapannya kita kalah.
Undi Melayu untuk UMNO memang sentiasa tinggi berbanding Pas hatta masa Pakatan Rakyat bertanding sekali pun. Hanya cuma sekali masa Barisan Alternatif tahun 1999 pembangkang berjaya mendapat sebanyak 63 peratus undi Melayu tetapi itu pun masih tidak boleh perintah negara sebab bukan Melayu tidak sokong.
Bagaimana hendak memenangi hati pengundi Melayu?
SAIFUDDIN: Sudah pasti ini adalah usaha berterusan, kita tidak boleh kata ia akan berlaku secara spontan, sekarang ini pun sudah banyak perkara yang PH buat tetapi yang mendominasi di luar adalah seperti isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), kanak-kanak perempuan patut berkhatan atau tidak dan lain-lain.
Usaha untuk memenangi hati orang Melayu akan berkesan selama kita tunjukkan kepada rakyat seperti sekarang kita selamatkan institusi Felda sebanyak RM6 bilion dan Tabung Haji (TH) sebanyak RM1.7 bilion setahun selama 10 tahun
Ini menunjukkan PH telah menyelamatkan dua institusi penting Melayu. Jadi saya fikir kita boleh berdiri tegak walaupun berdepan persepsi bahawa tidak menjaga Melayu dan Islam.
Daripada skala 10 berapakah rating prestasi kerajaan PH bagi pendapat Datuk Seri?
SAIFUDDIN: Sejujurnya saya bagi 6.5, skala tujuh masih belum boleh bagi lagi tapi rating ini masih baik sebab lulus.
Bagaimana pula rating Datuk Seri sendiri daripada skala 10?
SAIFUDDIN: 6.5 juga.
Prestasi PH sederhana tapi progresif
Sepanjang setahun bagaimanakah prestasi PH?
MUHAMAD NADZRI: Kita kena adil dalam menilai kerajaan baharu, bagi saya prestasi PH sederhana tetapi progresif. Kita lihat dari tiga sudut ekonomi, politik dan sosial.
Dari segi ekonomi ada perubahan yang baik dari sudut makro contohnya pemberian kontrak dan tender yang lebih terbuka, akses kepada orang ramai dan kita lihat juga kerajaan memecahkan kuasa mengurus ekonomi untuk membantu Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad iaitu Datuk Seri Azmin Ali dan kuasa untuk menguruskan kewangan. Sedikit sebanyak dapat dilihat ada proses semak dan imbang di sini.

Namun begitu, pengurusan ekonomi makro ini tidak terikat dan terhubung dengan isu ekonomi mikro. Pada hari ini rakyat masih terperangkap dengan isu utama iaitu kos sara hidup rakyat.
Kita masih tidak dapat memberikan standard kehidupan yang lebih fundamental sehingga menyebabkan kos sara hidup kekal sebagai isu paling penting yang dihadapi oleh rakyat.
Jadi bagi saya amat penting untuk kerajaan menunaikan janji manifesto yang dibuat oleh PH dalam PRU Ke-14 lalu sebab banyak rakyat yang mengundi PH dahulu atas harapan yang diberikan dan mahukan perubahan. Perubahan yang ditawarkan banyak tetapi yang popular adalah perubahan untuk penambahbaikan kehidupan rakyat dan gaji minimum.
Di bawah kerajaan PH sekarang juga walaupun membuat perubahan pada makro ekonomi tetapi kita masih terikat dengan budaya makro ekonomi yang lama termasuk terikat dengan mega projek. Mega projek ini jarang memberikan pendapatan berbaloi dan akhirnya kita terpaksa berhutang dan meminta rakyat untuk membayar kos mega projek itu. Dalam hal ini bagaimana kita mahu hubungkan kepentingan rakyat dan negara iaitu dengan membenarkan ‘public enggagement’ yang lebih tinggi. Contohnya dalam isu Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), rakyat tidak didekati malah dalam isu pelantikan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan kementerian dibuat atas faktor politik.
Dari segi perubahan politik pula banyak perubahan dilakukan seperti reformasi institusi Parlimen yang lebih merakyat, selain itu, dapat dilihat kita bukan lagi diperintah oleh seorang, dahulu Perdana Menteri paling berkuasa tetapi dalam PH sekarang modelnya adalah perkongsian bersama yang bermaksud tiada parti yang dominan dalam PH sebab itu kita lihat pelantikan dalam kerajaan tidak mencerminkan hasrat Perdana Menteri semata-mata tetapi lebih seimbang.
Dari sudut sosial kita lihat perubahan sangat drastik khususnya isu Statut Rome, Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi (ICERD) dan sebagainya. Bagi saya perkara ini perlu dibuat secara beransur-ansur dan paling penting perlu mendekati rakyat.
Sama juga isu ECRL, persoalan bukan buat atau tidak yang penting untuk bezakan PH dan BN adalah dengan merujuk dan mendekati rakyat sebab kita ingat sebahagian wang negara adalah wang rakyat. Apabila kita ambil sebahagian wang ini ada bahagian lain seperti pendidikan, kesihatan dan lain-lain perlu dikorbankan.
Dari sudut ekonomi banyak melihat tiada pembaharuan dan banyak projek sekarang adalah usaha BN dahulu, adakah ini akan memberikan persepsi negatif terhadap PH?
MUHAMAD NADZRI: Tanpa memberi makna yang baharu kepada mega projek ini impaknya sangat besar, kesannya kita boleh lihat dalam keputusan tiga PRK lalu, walaupun ada orang kata dua kawasan PRK yang BN menang itu tempat UMNO, memang betul. Di Cameron Highland misalnya dalam PRU Ke-14 lalu majoriti yang dimenangi BN sangat tipis sepatutnya sebagai kerajaan pemerintah pada hari ini PH boleh memenangi kawasan ini manakala di Rantau pula Datuk Seri Mohamad Hasan bukan sekadar menang besar tetapi menang di hampir semua peti undi, ini menunjukkan rakyat semakin kritikal terhadap PH. Ini sudah memberi impak kepada PH untuk melihat semula manifesto mereka dan menghubung kait antara kepentingan kerajaan dan rakyat.
Setahun lalu PH merupakan pilihan popular tetapi selepas setahun momentum sama tidak berlaku, kenapa?
MUHAMAD NADZRI: Saya lihat ini berlaku kerana sesetengah rakyat Malaysia tidak setia kepada parti dan tidak mengaitkan diri mereka dengan parti A atau B sebaliknya mereka melihat kepada isu. Bagi mereka yang terdesak berikutan isu ekonomi mereka akan mencari parti yang boleh membantu. Pada PRU lalu, PH memberikan harapan yang baik tetapi selepas setahun sebagai kerajaan mereka terpaksa berhadapan dengan realiti seperti keadaan ekonomi semasa dan pada masa sama rakyat mahukan perubahan daripada kerajaan.
Kalau kita lihat perubahan kos sara hidup masih banyak belum berlaku perubahan lagi dan banyak juga dasar populis yang dijanjikan dahulu diberikan semakan baharu dan menjadi kurang popular. Sebagai contoh di universiti dahulu ada MyBrain beribu pelajar ditaja oleh kerajaan lama dan sejak PH ambil alih program ini dibekukan dan banyak pensyarah dan pelajar yang membuat PhD untuk modal insan tidak dibantu oleh kerajaan, lebih membebankan yuran di universiti tidak murah antara RM2,500 hingga RM3,000 semester. Dan kita kena ingat dahulu ada geran penyelidikan yang membolehkan pensyarah mengambil pembantu penyelidik (RA) tetapi kini geran itu dipotong jadi peluang untuk menjadi RA pun kurang dan pembukaan jawatan baharu seperti pensyarah dan pentadbir pun dibekukan, jadi situasi sekarang nak jadi RA tak boleh, nak jadi pensyarah pula kena tunggu pensyarah lain bersara baru ada peluang.
Sama juga dengan bantuan sara hidup yang diberikan oleh BN dahulu seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang bertambah besar dan lain-lain. Kalau penjawat awam pula masa hari raya dan bonus tertunggu-tunggu tetapi hari ini tidak semuanya dapat. Jadi rakyat membanding-bandingkan dua masa ini. Sebab itu PH perlu mengurangkan mega projek dan membanyakkan mega projek untuk pembangunan modal insan. Kalau kita lihat manifesto PH dahulu kebanyakannya berkaitan pembangunan insan.
Bagaimana pula tanggapan terdapat pertembungan antara Perdana Menteri dan bakal Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim?
MUHAMAD NADZRI: Sebenarnya tidak, saya nampak dari awal sudah ada persefahaman kalau PH menang Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri dan dalam masa dua tahun Anwar dilantik.
Saya lihat kali ini Dr. Mahathir akan akur perjanjian tersebut. Ini bukan kerana balas jasa tetapi persekitaran Dr. Mahathir sekarang tidak sama ketika beliau memimpin UMNO dahulu.
Dahulu juga dia masih muda dan mahu mengejar cita-cita tinggi tetapi kini berbeza ditambah pula dengan parti Bersatu bukan parti yang kuat malah antara parti paling lemah.
Pada masa sama, Anwar juga tidak agresif seperti dahulu, beliau kini lebih lunak dalam menasihati kerajaan PH.
Bagaimana pula prestasi sesetengah menteri yang dilihat gagal dan angkuh, adakah perlu rombakan Kabinet?
MUHAMAD NADZRI: Sebahagian daripada mereka masih baharu dan terkejut. Kalau angkuh di peringkat Persekutuan mungkin kurang tetapi di peringkat negeri ada dengan menggunakan bahasa kasar. Perkara ini bukan sahaja perlu ditegur oleh rakyat tetapi Perdana Menteri, menteri besar atau ketua menteri supaya mereka sentiasa beringat.
Untuk rombakan Kabinet pula bagi saya mungkin tidak akan berlaku memandangkan tinggal setahun sahaja lagi Dr. Mahathir akan memegang jawatan sebagai Perdana Menteri tetapi rombakan akan berlaku dengan Perdana Menteri baharu.
Ada pihak melihat PH tidak menjaga bangsa Melayu, benarkah?
MUHAMAD NADZRI: PH menjaga Melayu sebenarnya sebab dalam Perlembagaan menjaga perkara ini malah dalam PH sendiri ramai ahli parlimen Melayu. Isu LGBT dan sebagainya bukan sahaja melanda Malaysia tetapi isu global.
Dalam isu LGBT, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof menunjukkan sikap tegas terhadap isu ini.
Siapakah menteri yang telah menunjukkan prestasi terbaik setakat ini?
MUHAMAD NADZRI: Dr. Mahathir dan Dr. Wan Azizah yang banyak membantu Perdana Menteri, ada sinergi antara mereka.
Daripada skala 1 hingga 10, di manakah penunjuk prestasi PH?
MUHAMAD NADZRI: Saya beri 6.5, prestasi mereka sederhana tetapi progresif.











