Sakit belakang golongan muda - Utusan Malaysia

Sakit belakang golongan muda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Lazimnya sakit belakang yang sering dialami oleh golongan muda adalah akibat daripada kekejangan otot atau ligamen tulang belakang dikenali sebagai lower back strain. Berlaku secara tiba-tiba disebabkan oleh aktiviti yang membebankan di bahagian belakang tubuh dan mengambil masa beberapa minggu untuk pulih.

Namun sekiranya sakit belakang ini berterusan dan tiada kaitan dengan aktiviti lasak, kerap berlaku pada waktu malam atau pagi, pergerakan tulang belakang yang terhad, sentiasa letih atau terdapat bengkak sendi pada tangan atau kaki maka simptom seperti ini boleh disebabkan oleh radang atau inflamasi yang menyerang sendi-sendi pada tulang belakang dikenali sebagai ankylosing spondylitis.

Dr. Fariz YahyaDR. FARIZ YAHYA
 

Menurut Pakar Perunding Rheumatologi, Pusat Pakar Universiti Malaya (UMSC), Dr. Fariz Yahya, ankylosing spondylitis merupakan sebahagian daripada axial spondyloarthritis melibatkan golongan muda yang mengalami sakit belakang sekurang-kurangnya dalam empoh tiga bulan, berlaku ketika mereka berusia kurang daripada 45 tahun.

Memuatkan artikel berkaitan…

Namun katanya, kebanyakan pesakit ankylosing spondylitis mula mengalami sakit belakang ketika berusia 20 tahun sehingga 30 tahun.

“Tulang belakang terdiri daripada tulang-tulang vertebra yang bersambung secara berterusan daripada tengkuk sehingga ke bahagian punggung. Tulang pinggul atau pelvis juga berkait dengan tulang belakang manakala tempat tulang pinggul bertemu dengan tulang belakang dikenali sebagai sendi sakro-iliak,’’ katanya.

Dr. Fariz memberitahu, ankylosing spondylitis akan menyerang sendi sakro-iliak hingga mengakibatkan radang atau inflamasi (sakroiliitis) yang kemudian menyebabkan simptom sakit belakang dan boleh merebak ke bahagian tulang belakang yang lain.

“Sekiranya radang ini berterusan, risiko untuk tulang belakang menjadi ‘keras’ seolah-olah berlaku pembentukan ‘tulang baharu’ pada sendi tulang belakang boleh terjadi. Maka ini akan menyebabkan pergerakan pada tulang belakang terhad dan pesakit akan menghadapi masalah untuk membongkok ke depan, memusingkan badan atau menoleh ke kiri atau kanan,’’ ujarnya.

Keadaan ini katanya boleh mengambil masa beberapa bulan atau beberapa tahun untuk berlaku namun tiada rawatan setakat ini yang boleh mengubah semula keadaan tersebut.

Pesakit yang menghidap penyakit ini biasanya akan merasa tegang dan sakit pada bahagian belakang terutamanya pada waktu malam atau pagi malah mereka mungkin akan terjaga pada waktu malam disebabkan sakit belakang yang dialami.

Beliau berkata, berehat tidak dapat melegakan simptom sakit tersebut dan apabila pesakit itu bangun pada waktu pagi, simptom tersebut hanya akan hilang secara perlahan-lahan setelah mereka menggerak atau merenggangkan (stretching) bahagian belakang.

Pesakit juga boleh mengalami sakit tumit kerana berlaku radang pada tendon tumit, bengkak pada jari tangan atau kaki atau sakit pada bahagian punggung selain merasa letih atau lesu.

Ankylosing spondylitis juga boleh dialami oleh seseorang yang menghidap masalah kulit psoriasis, masalah inflamasi pada usus (Inflammatory Bowel Disease – IBD) atau sakit dan merah pada mata disebabkan masalah anterior uveitis.

“Sehingga kini, punca utama penyakit ini masih belum dapat dikenal pasti namun didapati terdapat kaitan genetik yang dikenali sebagai HLA-B27 dan berdasarkan uji kaji, hampir 90 peratus pesakit yang menghidap ankylosing spondylitis adalah positif untuk ujian genetik HLA-B27,’’ katanya.

Namun individu yang didapati positif untuk ujian genetik HLA-B27 tidak semestinya mempunyai penyakit ini tetapi mungkin berisiko tinggi untuk menghidap ankylosing spondylitis.

Lazimnya pesakit akan dirujuk kepada doktor pakar Rheumatologi untuk menjalani ujian darah bagi mengesan radang atau inflamasi, ujian darah genetik HLA-B27, menjalani x-ray tulang belakang dan sendi sakro-iliak selain imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI) pada bahagian sendi sakro-iliak.

Rawatan awal yang perlu untuk pesakit ialah mengambil ubat anti-radang atau non-steroidal anti-inflammatory drug (NSAID) seperti diclofenac, celecoxib dan etoricoxib. Bagaimanapun sekiranya ubat NSAID masih tidak dapat mengawal radang dan simptom sakit belakang berlaku maka mereka disarankan mengambil ubat yang dikenali sebagai ubatan biologik .

Selain ubat, fisioterapi juga perlu untuk membantu meningkatkan pergerakan tulang belakang dan juga membantu untuk mengurangkan sakit.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini