BUKAN mudah sebenarnya untuk bertahan sebagai sebuah kumpulan sejak 13 tahun yang lalu. Jika kebanyakan rakan-rakan seangkatan sudah lama meninggalkan bidang seni dek kerana pelbagai kekangan, Bunkface pula masih utuh bertahan.
Memunculkan diri ketika era kegemilangan kumpulan indie ketika itu, hanya mereka bersama kumpulan Hujan yang masih kekal di dalam industri. Manakala puluhan yang lain pula hanya tinggal nama dan mungkin ada yang sudah dilupakan.
Siapa kata sesebuah kumpulan sukar untuk bertahan lama? Meskipun bukan mudah untuk membulatkan hati untuk bertahan, apa yang dilalui juga sebenarnya tidak seindah yang dilihat dari kaca mata peminat.
“Macam-macam perkara yang sudah kami lalui bersama sejak dahulu. Kalau bercakap soal bergaduh tu, perkara biasa. Cuma kami mampu menyelesaikan masalah dengan cepat agar tidak menjadi barah.
“Untuk mencari persefahaman bukan satu perkara yang mudah dan kena laluinya sendiri. Ini yang membuatkan kami masih mampu membawa nama Bunkface sejauh ini,” kata Paan selaku pemain gitar kumpulan ini.
Tambah Paan, persefahaman antara dia, Sam dan Youk bukan mudah untuk dicerna pada peringkat awal, namun mereka berjaya merentasi fasa sukar dengan terhasilnya empat album penuh sehingga ke hari ini.
Tambahnya, kerja keras dan visi yang sama amat penting bagi mencorakkan sesebuah kumpulan seterusnya menentukan hala tuju mereka pada awal penglibatan dahulu.
“Bidang muzik bukan satu bidang yang boleh dibuat main-main. Kalau mereka sendiri tidak tahu apa hala tuju dan kehendak, bagaimana mahu bertahan sebagai sebuah kumpulan dalam jangka masa yang panjang?
“Apabila masing-masing faham matlamat asal, tiada yang mustahil. Kalau kita sudah bekerja keras mengikut landasan yang betul, Tuhan akan permudahkan,” katanya mewakili rakan-rakan yang lain.
Harapan
TIDAK dinafikan untuk bertahan sebagai sebuah kumpulan bukan hal yang mudah. Soal wang misalnya bukan satu perkara yang ‘indah’ untuk diperkatakan memandangkan setiap bayaran harus dikongsi bersama ahli yang lain.
Lantas, faktor itu juga yang menyebabkan mengapa kebanyakan penyanyi baharu lebih suka bergerak solo tanpa kumpulan selain memudahkan mereka untuk membuat keputusan.
“Hal bayaran dan sebagainya memang hal yang selalu menjadi masalah besar kepada banyak kumpulan. Bila terima bayaran, perlu membahagikan pula antara ahli dan kru bertugas.
“Kami sendiri dah merasai pengalaman itu. Prinsip kami mudah, sikit atau banyak nikmatilah bersama. Jangan risau akan ada rezeki lain menanti pada masa hadapan,” jelasnya lagi.
Ditambah dengan perubahan zaman yang semakin pantas berkembang dengan adanya Internet, kumpulan baharu tidak seharusnya takut untuk bersaing memandangkan mereka mempunyai akses untuk mencari banyak peluang.
Berbanding dengan zaman mereka muncul, fasa tersebut sebenarnya jauh lebih perit memandangkan semuanya perlu dilakukan secara manual dan berperingkat-peringkat.
“Untuk kumpulan baharu, mereka boleh mengkaji pelan pemasaran yang betul sebelum mengeluarkan album. Ini kerja serius dan memerlukan perancangan dan jangan terburu-buru.
“Dulu Bunkface muncul dan ‘melanggar’ sahaja peluang yang ada. Tapi alhamdulillah kami berjaya juga menembusi pasaran dan dikenali ramai,” katanya mengenang kembali perjalanan seni mereka.
Sepanjang penglibatan mereka di dalam bidang seni, Bunkface sudah menghasilkan album Phobia Phoney, Punk Not Dead, Malam Ini Kita Punya dan terbaru Pop.
Konsert istimewa
BAKAL muncul dengan Konsert Laksamana Metal 2019 Dua Generasi Wings X Bunkface pada 4 Mei depan, sudah pasti memberikan keterujaan berganda kepada mereka bertiga.
Konsert sempena meraikan ulang tahun ke-35 Wings itu bukan sahaja mengangkat tema Kesultanan Melayu tetapi dalam masa yang sama menggabungkan dua generasi berbeza dalam satu pentas.
“Kami menyambut baik pelawaan Wings untuk bersama-sama dengan mereka memberikan kelainan kepada peminat. Sudah pasti peluang sebegini tidak datang selalu dan kami sayang menghargainya.
“Wings sendiri sudah menjadi kumpulan rock yang mampu bertahan lama dan aktif. Kami sangat mengagumi mereka dan mahu Bunkface untuk mengikut jejak langkah yang ditinggalkan,” kata Paan lagi.
Bakal berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), mereka akan menghiburkan peminat dengan belasan lagu popular selama sejam sebelum Wings mengambil tempat.
Tidak hanya itu, Bunkface juga akan menyanyikan sebuah lagu popular Wings dan sebaliknya selain paduan kedua-dua kumpulan dalam lagu yang akan diumumkan kelak.
Bagi pembeli tiket RM450 berpeluang menyaksikan sesi latihan akhir sehari sebelum konsert selain menikmati jamuan ringan dan membawa pulang barangan premium Wings.
Untuk yang tiket berharga RM150 pula, mereka bakal menerima barangan istimewa untuk seribu pembeli pertama.
Tempahan tiket boleh dibuat menerusi ejen kelab peminat Sayap-Sayap Wings atau dapatkan maklumat lanjut menerusi Instagram @sayap2wings dan Facebook Sayap-Sayap Wings.










